Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 23, 2020

TERIMA KASIH PETUGAS BARISAN HADAPAN, PASUKAN PRODUKSI PPE – MB PAHANG




KUANTAN, 23 Mei- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan produksi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dalam membendung penularan wabak COVID-19.


Dalam perutusan Aidilfitri, beliau berkata kerajaan negeri Pahang amat menghargai usaha dan khidmat petugas barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan, polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan media dalam membantu usaha membendung wabak itu.


“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pasukan produksi PPE Pahang yang diketuai Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Fadzilla Salleh dalam memastikan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi semasa melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.


Antara pihak yang terlibat dalam pasukan itu ialah Penjara Penor, Penjara Bentong, Majlis Perbandaran Kuantan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kolej Komuniti Temerloh, Yayasan Pahang dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).


“Kerajaan negeri amat menghargai pengorbanan ini dan semoga Allah membalas khidmat semua yang terlibat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dihadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


Wan Rosdy juga menasihatkan rakyat Pahang untuk sama-sama membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi ketetapan kerajaan yang telah mengehadkan sambutan hari raya tahun ini hanya melibatkan anggota keluarga dan tidak melebihi sempadan negeri.


Katanya, sambutan kali ini sudah pasti amat berbeza kerana pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia tidak pernah berlaku sebelumnya menyebabkan semua pihak perlu ‘melakukan pengorbanan’ bagi memastikan ia dapat dibendung sepenuhnya.


“Ini mungkin mendatangkan perasaan tidak selesa bagi sesetengah orang, namun ini sahaja pilihan yang ada dan saya percaya kemeriahan hari raya masih boleh dirasai walaupun tidak seperti tahun sebelumnya,” katanya.



SUMBER – BERNAMA

0 comments:

share2