Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah, kepada umat Islam seluruh negara, khususnya di negeri Pahang Darul Makmur.
Perayaan kali ini sangat berbeza dan tidak pernah berlaku sebelumnya.
Kita sambut Hari Raya kali ini ketika negeri, negara dan seluruh dunia dilanda wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan.
Bagi membendungnya, pelbagai usaha Kerajaan ambil, termasuk penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang antara lain, menghadkan sambutan hanya dalam kalangan keluarga dan dalam sempadan negeri sahaja.
Ini mungkin tidak selesa bagi sesetengah orang tetapi inilah sahaja pilihan yang ada, dan saya percaya, kemeriahan masih dapat dirasai sungguhpun tidak sepertimana tahun-tahun lepas.
Bagaimanapun, inilah pengorbanan kita bersama bagi memastikan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, dapat dibendung sepenuhnya, In Sya Allah.
Mengambil kesempatan ini, saya turut ucapkan terima kasih dan Selamat Hari Raya kepada petugas-petugas barisan hadapan, dalam kalangan kakitangan perubatan, anggota keselamatan seperti Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela serta agensi-agensi lain termasuk rakan-rakan media.
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada team produksi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang diketuai oleh Pengarah Tanah dan Galian, Dato’ Fadzilla Salleh, dibantu oleh Jabatan Penjara Malaysia yang terdiri daripada Penjara Penor dan Penjara Bentong, Majlis Perbandaran Kuantan, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kolej Komuniti Temerloh, NGO-NGO dari Pengakap, Puspanita serta Yayasan Pahang.
Kerajaan Negeri amat menghargai segala khidmat-bakti dan pengorbanan Tuan-tuan dan Puan-puan selama ini, terutama dalam tempoh PKP dan PKPB sejak 18 Mac 2020. Semoga Allah sahaja dapat membalasnya.
Sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah. Maaf Zahir dan Batin daripada saya, keluarga dan Kerajaan Negeri kepada semua.
‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.
Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail
Menteri Besar Pahang
23 Mei 2020
0 comments:
Post a Comment