KUANTAN, 23 Mei- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy
Wan Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan
produksi Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dalam membendung penularan wabak
COVID-19.
Dalam perutusan Aidilfitri, beliau berkata kerajaan negeri
Pahang amat menghargai usaha dan khidmat petugas barisan hadapan seperti
kakitangan kesihatan, polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan
media dalam membantu usaha membendung wabak itu.
“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pasukan produksi
PPE Pahang yang diketuai Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Fadzilla Salleh
dalam memastikan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi semasa melaksanakan
tanggungjawab mereka,” katanya.
Antara pihak yang terlibat dalam pasukan itu ialah Penjara
Penor, Penjara Bentong, Majlis Perbandaran Kuantan, Kolej Universiti Islam
Pahang Sultan Ahmad Shah, Kolej Komuniti Temerloh, Yayasan Pahang dan pelbagai
badan bukan kerajaan (NGO).
“Kerajaan negeri amat menghargai pengorbanan ini dan semoga
Allah membalas khidmat semua yang terlibat terutamanya dalam tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dan Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat (PKPB) yang masih dihadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan media
di sini, hari ini.
Wan Rosdy juga menasihatkan rakyat Pahang untuk sama-sama
membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi ketetapan kerajaan yang telah
mengehadkan sambutan hari raya tahun ini hanya melibatkan anggota keluarga dan
tidak melebihi sempadan negeri.
Katanya, sambutan kali ini sudah pasti amat berbeza kerana
pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia tidak pernah berlaku sebelumnya
menyebabkan semua pihak perlu ‘melakukan pengorbanan’ bagi memastikan ia dapat
dibendung sepenuhnya.
“Ini mungkin mendatangkan perasaan tidak selesa bagi
sesetengah orang, namun ini sahaja pilihan yang ada dan saya percaya kemeriahan
hari raya masih boleh dirasai walaupun tidak seperti tahun sebelumnya,”
katanya.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor