KUANTAN: Solat Jumaat diadakan di tiga masjid daerah ini
hari ini sebagai percubaan sebelum kebenaran diperluaskan kepada satu masjid di
setiap daerah untuk berbuat demikian mulai 22 Mei ini.
Tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negeri, Masjid Kolej
Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Masjid Universiti Islam
Antarabangsa (UIA).
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pegawai masjid
termasuk kadi daerah diminta supaya melihat prosedur operasi standard (SOP)
yang dilakukan hari ini untuk pastikan peraturan dan arahan dilaksanakan di
daerah nanti diikuti demi keselamatan rakyat.
"Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT
kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita semua menunaikan solat
Jumaat, hari ini.
"Saya pasti semua jemaah di sini rindukan masjid untuk
menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Bagaimanapun kita harus sama-sama
faham musuh COVID-19 yang sedang kita hadapi sekarang ini tidak kelihatan.
"Langkah kerajaan menutup sementara solat berjemaah di
masjid adalah satu keharusan dalam hukum agama," titah baginda sempena
solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di
Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru
kepada umat Islam di Pahang tidak lupa untuk membayar zakat fitrah.
"Saya difahamkan hingga kini baru 40 peratus kutipan
dibuat. Saya juga bersetuju bagi memudahkan lagi proses pembayaran zakat
fitrah, khidmat amil akan digerakkan semula.
"Bagaimanapun, ia mestilah mengikut prosedur dan SOP
yang ditetapkan dan bagi yang mempunyai perbankan internet, gunakan kemudahan
berkenaan," titahnya.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat
Resam Melayu Pahang (MUIP), bertitah bagi tempoh Januari hingga April lalu,
sebanyak RM56 juta zakat diagihkan kepada golongan asnaf.
SUMBER: FACEBOOK ,Fakhruddin
Ariff/ BERITA HARIAN
0 comments:
Post a Comment