KUANTAN - Semua premis perniagaan dan kilang di negeri
Pahang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam
tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikenakan tindakan
tegas termasuk diarah tutup.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak
berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan setiap premis mematuhi
SOP bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, dalam tempoh seminggu ini, pihak berkuasa
tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
beberapa jabatan lain akan mengadakan pemeriksaan bagi memberi penerangan
kepada pemilik premis mengenai SOP tersebut.
"Kita akui ada yang keliru, tapi ini biasa sebab ia
benda (SOP) baru, jadi tempoh seminggu diberikan bagi beri kefahaman kepada
perniagaan untuk pematuhan.
"Kita berharap tidak ada tindakan undang-undang akan
diambil, tapi ini adalah tindakan terakhir terpaksa diambil, malah penutupan
premis akan dilakukan jika tidak patuh. Semua ini di bawah kuasa PBT dan
Jabatan Kesihatan yang bukan mengganggu perniagaan sebaliknya mahu menjaga
keselamatan," katanya.
Sallehuddin (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai
pematuhan SOP sewaktu mengadakan tinjauan di Kilang Polyplastics di Gebeng hari
ini.
Sallehuddin (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai
pematuhan SOP sewaktu mengadakan tinjauan di Kilang Polyplastics di Gebeng hari
ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan
tinjauan pematuhan SOP di kilang dan premis sekitar daerah ini susulan
pelaksanaan PKPB bermula hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tinjauan yang diadakan, Sallehuddin
berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan kilang dan premis perniagaan
terhadap SOP terbabit.
Jelasnya, semua pekerja dan pemilik premis serta kilang
berhati-hati dan mematuhi keperluan untuk pergerakan, selain menjaga kebersihan
serta mematuhi SOP yang ada.
Namun begitu, beliau mengingatkan premis perniagaan dan
kilang agar mengambil maklumat lengkap pelawat bagi memudahkan mengesan mereka
sekiranya berlaku jangkitan Covid-19.
"Jadi, kita harap kerjasama daripada semua pihak dalam
perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, Sallehuddin menasihatkan semua rakyat dapat mematuhi
SOP dan memakai topeng muka untuk keselamatan.
SUMBER – SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment