Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 27, 2020

PEMANDU SEBABKAN KEMATIAN KERANA MABUK DIREMAN




KUANTAN -- Seorang peraih ikan yang dipercayai memandu menentang arus di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja syarikat pembersihan di Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam tadi, direman empat hari.


Perintah reman terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Najwa Hashim selepas suspek yang memakai baju-T berwarna putih dan berseluar pendek hitam dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret.


Suspek yang tinggal di Tanah Putih di sini, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.


Dalam kejadian 9.20 malam tadi, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng di sini, maut selepas kereta Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu menentang arus dan secara berbahaya.


Mangsa yang beralamat di Sungai Isap Perdana di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada.


Siasatan awal mendapati kereta Toyota C-HR itu dipandu menentang arus sejauh lebih lima kilometer bermula dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa mengelak daripada bertembung.


Suspek lelaki itu dipercayai telah mengambil minuman keras di rumah rakannya di sebuah taman perumahan di Semambu, sebelum kejadian.



SUMBER -- BERNAMA

0 comments:

share2