Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 20, 2020

PAHANG PERKENAL NORMAL BAHARU KEBERSIHAN



KUANTAN -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang menggariskan enam normal baharu kebersihan ekoran penularan pandemik COVID-19.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda berkata Normal Baharu Kebersihan Negeri Pahang yang pertama, menggariskan pengamalan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan dan menggunakan pensanitasi  dan yang kedua ialah pengamalan penjarakan sosial serta  pemakaian pelitup muka bagi yang bergejala.


“Normal baharu ketiga ialah kurangkan janaan sisa dengan mengamalkan budaya pengkomposan sisa makanan dan pengasingan sisa pepejal di punca serta biasakan amalan gotong-royong membersihkan kawasan rumah.


“Normal baharu keempat ialah hargai makanan, elakkan pembaziran. Masak dalam kuantiti yang betul dan olah makanan lebihan menjadi menu baharu,” katanya kepada pemberita di Pejabat SWCorp Pahang di sini, hari ini.


Abd Rahim  berkata normal baharu seterusnya ialah menggunakan bekas makanan dan beg guna semula semasa membuat pembelian serta rancang pembelian dan amalkan budaya “trash to cash” dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula.


Beliau juga berkata selain orang ramai, normal baharu itu juga perlu diamalkan petugas kebersihan termasuk syarikat konsesi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan lain-lain agensi berkaitan kebersihan.


“Kejayaan pengamalan normal baharu kebersihan ini terletak kepada peranan setiap isi anggota masyarakat sendiri. Setiap individu adalah bertanggungjawab untuk membudayakan kebersihan kendiri dan normal yang digariskan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua PBT di negeri ini terus komited dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis perniagaan.


“Premis yang tidak mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan arahan penutupan. Setakat ini pengamalan SOP adalah baik dan tiada lagi premis yang diarahkan tutup,” katanya.


SUMBER -- BERNAMA

0 comments:

share2