KUANTAN -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang
menggariskan enam normal baharu kebersihan ekoran penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan
negeri Abd Rahim Muda berkata Normal Baharu Kebersihan Negeri Pahang yang
pertama, menggariskan pengamalan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh
tangan dan menggunakan pensanitasi dan
yang kedua ialah pengamalan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka bagi yang bergejala.
“Normal baharu ketiga ialah kurangkan janaan sisa dengan
mengamalkan budaya pengkomposan sisa makanan dan pengasingan sisa pepejal di
punca serta biasakan amalan gotong-royong membersihkan kawasan rumah.
“Normal baharu keempat ialah hargai makanan, elakkan
pembaziran. Masak dalam kuantiti yang betul dan olah makanan lebihan menjadi
menu baharu,” katanya kepada pemberita di Pejabat SWCorp Pahang di sini, hari
ini.
Abd Rahim berkata
normal baharu seterusnya ialah menggunakan bekas makanan dan beg guna semula
semasa membuat pembelian serta rancang pembelian dan amalkan budaya “trash to
cash” dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula.
Beliau juga berkata selain orang ramai, normal baharu itu
juga perlu diamalkan petugas kebersihan termasuk syarikat konsesi, Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT), dan lain-lain agensi berkaitan kebersihan.
“Kejayaan pengamalan normal baharu kebersihan ini terletak
kepada peranan setiap isi anggota masyarakat sendiri. Setiap individu adalah
bertanggungjawab untuk membudayakan kebersihan kendiri dan normal yang
digariskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua PBT di negeri
ini terus komited dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) dengan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di
premis-premis perniagaan.
“Premis yang tidak mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan
arahan penutupan. Setakat ini pengamalan SOP adalah baik dan tiada lagi premis
yang diarahkan tutup,” katanya.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor