Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 13, 2020

28 GELANDANGAN DI KUANTAN DAPAT KERJA




KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan pekerjaan kepada seramai 28 gelandangan yang kini ditempatkan di Pusat Gelandangan Sementara (PGS) Alor Akar di sini.


Yang Dipertuan MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata, bagaimanapun penawaran peluang pekerjaan tersebut hanya diberikan kepada gelandangan sihat, muda dan berminat untuk bekerja dengan MPK sahaja.


Menurutnya, mereka akan bekerja sambilan dengan pihaknya pada hari-hari tertentu setiap minggu yang lebih memfokuskan kepada aktiviti riadah.


"Golongan terbabit diberikan tugas yang sesuai di tapak semaian MPK di Taman Teruntum. Antara aktiviti yang dilakukan mereka adalah seperti menyiram, menyemai, menabung dan menyapu sampah.


"Aktiviti yang dilakukan lebih kepada riadah sambil mengisi masa lapang mereka, semua kemudahan termasuk pengangkutan disediakan MPK," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di PGS Alor Akar di sini hari ini.


Hamdan berkata, kesemua gelandangan yang diselamatkan dalam Operasi Selamatkan Gelandangan Dari Covid-19 di bandar ini berada di PGS secara berperingkat sejak bulan lalu dan seramai lebih 30 individu dibantu.


Katanya, ini kali pertama gelandangan dapat dikumpul di bawah satu bumbung dalam usaha memastikan bandar ini bebas daripada golongan terbabit yang tidak mempunyai tempat tinggal disebabkan pelbagai faktor.


Jelasnya, kesemua gelandangan terbabit dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Dapur Infaq Ummah yang menyediakan makanan setiap hari dibantu sukarelawan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pahang yang melancarkan lagi pengurusan pusat berkenaan.


Dalam pada itu, Hamdan berkata, cadangan menyediakan pusat gelandangan khas di daerah diharap menjadi kenyataan selepas mendapat kerjasama kerajaan negeri dan beberapa agensi seperti JKM Pahang serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).


"Kita sebolehnya ingin memastikan nasib gelandangan di bandar ini terbela, tinggal di bawah satu bumbung dan menerima pelbagai kemudahan. Mereka boleh bekerja waktu siang dan malam pulang ke pusat gelandangan.


"Sekiranya tidak dibantu, nasib gelandangan akan terus terabai. Kita juga mempelawa syarikat swasta untuk menerima golongan terbabit bekerja dengan mereka," katanya.



 SUMBER : SINAR HARIAN

0 comments:

share2