Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 10, 2020

POLIS NAFI DAKWAAN PKPD DI INDERA MAHKOTA 2



KUANTAN, 10 April  -- Dakwaan yang tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp bahawa kawasan Indera Mahkota 2 di sini akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini  adalah palsu.


Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali yang menafikan berita itu berkata setakat ini tiada arahan berhubung PKPD dikeluarkan untuk kawasan berkenaan.


“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai mesej yang dibuat individu tidak bertanggungjawab atau menyebarkannya kerana dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya kepada pemberita.


Mohamad Noor juga mengingatkan mereka yang menyebarkan berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Mesej yang tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp hari ini mendakwa kononnya Ketua Balai Polis Indera Mahkota meminta orang ramai supaya membuat persiapan kerana kawasan Indera Mahkota 2 akan dikenakan PKPD yang akan menyebabkan mereka tidak dibenarkan keluar.


Mohamad Noor dalam pada itu menasihatkan penduduk Kuantan agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak keluar rumah tanpa alasan yang kukuh bagi membantu membendung penularan COVID-19.


 SUMBER -- BERNAMA




0 comments:

share2