Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 8, 2020

PAHANG UMUM 9 LAGI INITIATIF BERNILAI RM2.15 JUTA BANTU PIHAK TERJEJAS




KUANTAN, 8 April -- Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan sembilan inisiatif baharu bernilai RM2.15 juta bagi membantu 34,376 penerima yang terkesan sumber pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata inisiatif  fasa tiga itu merupakan tambahan kepada 13 inisiatif berjumlah RM19.24 juta yang diumumkan sebelum ini secara berperingkat pada 23 dan 30 Mac lepas.


Inisiatif baharu itu antaranya melibatkan sumbangan 1,500 kampit beras setiap satu kepada semua pemimpin masyarakat di 14 kawasan Perlimen seluruh Pahang untuk diagihkan kepada 21,000 penerima, dengan keseluruhan sumbangan bernilai RM304,500.


"Sumbangan wang tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 akan diberikan kepada 426 orang pemandu pelancong dan pemandu bot pelancong di Taman Negara serta kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima.


"Sumbangan sama juga diberikan kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 penerima," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.


Wan Rosdy berkata usahawan mikro 'e-hailing' khususnya di Kuantan yang terjejas teruk dengan pelaksanaan PKP akan menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000 selain bantuan RM150 diberikan kepada 650 anak Pahang yang menetap di kampus tempat mereka belajar ekoran PKP.


Selain itu, barangan keperluan bernilai RM50 diberikan kepada 3,500 ketua isi rumah (KIR) menerusi Program Ziarah Prihatin kepada mereka yang menjalani proses kurantin di rumah bagi kategori pesakit di bawah pemantauan (PUI).


"Sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 pula diberikan  kepada KIR bagi kawasan yang diperketatkan kawalan pergerakan dan sukar mendapat bekalan makanan dengan jumlah terlibat dipuratakan 200 KIR bagi setiap daerah.


"Bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 diagihkan kepada 11 Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah bagi menguruskan pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada KIR yang terlibat," katanya.


Pada perkembangan lain, Wan Rosdy mengumumkan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 daripada bayaran khas RM1,000 secara 'one-off'  yang diumumkan pada Belanjawan Negeri 2020 akan mula dilaksanakan secara berperingkat pada Khamis ini, melibatkan 1,027 imam kariah di seluruh Pahang.


Menteri Besar  berharap semua inisiatif yang diberikan dapat membantu rakyat Pahang daripada pelbagai latar belakang yang terjejas sumber pendapatan akibat PKP yang perlu dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19. 



SUMBER -- BERNAMA

0 comments:

share2