KUANTAN, 20 April --
Cadangan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang atau 'M-Ten' bukan
hanya mampu membantu memulihkan pembangunan ekonomi negeri pasca wabak COVID-19
malah dilihat mampu memacu ekonomi Pahang ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan
penubuhan M-Ten itu sebagai tepat pada masanya, mengambil kira faktor
persekitaran ekonomi dan perniagaan yang semakin mencabar di peringkat dunia
ketika ini.
"Diharapkan M-Ten akan turut dianggotai barisan tokoh
ekonomi berkaliber seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar yang dapat membantu
kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri juga menjunjung kasih ke sisi Pemangku
Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah atas saranan baginda mencadangkan penubuhannya,"
katanya semasa menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga
Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini yang berlangsung
dalam keadaan 'serba ringkas' susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).
Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri akan mengumumkan
fasa keempat bantuan kepada rakyat yang terjejas sumber pendapatan ekoran wabak
COVID-19 selepas kejayaan tiga fasa bantuan meliputi 22 inisiatif berjumlah
RM24.34 juta yang dimulakan pada 23 Mac.
Wan Rosdy berkata inisiatif itu meliputi pemberian wang
tunai dan sumbangan barangan keperluan selain pengecualian bayaran bagi
meringankan beban kewangan rakyat pelbagai latar belakang.
Susulan penularan COVID-19 di Malaysia mula menunjukkan
penurunan, beliau mengingatkan rakyat Pahang untuk terus mematuhi PKP walaupun
terpaksa menempuh pengalaman Ramadan yang berbeza pada tahun ini.
“Mungkin tiada
kemeriahan majlis berbuka puasa beramai-ramai selain masjid dan surau juga
tidak lagi meriah dengan solat jemaah dan tarawih serta tadarus. Walaupun pilu,
saya pasti ada hikmah yang terbaik dari Allah dan kita perlu reda,"
katanya.
Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad berkata
persidangan hari ini mencatat sejarah apabila perasmiannya dilakukan secara
persidangan video oleh Tengku Hassanal susulan pelaksanaan PKP namun pada masa
sama, mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang.
Undang-undang itu mewajibkan sidang DUN Pahang berlangsung
sebelum 21 Mei atau terbubar, menyebabkan beberapa kelainan perlu dilakukan
untuk menjamin keselamatan semua ahli dewan dengan nasihat Jabatan Kesihatan
Negeri.
"Saya cuba membuat yang terbaik dan mohon maaf jika ada
antara Yang Berhormat rasa tidak selesa. Semua yang hadir diwajibkan menjalani
saringan suhu badan dan memakai penutup hidung dan mulut serta kedudukan kerusi
dijarakkan sehingga ada yang terpaksa duduk di bahagian belakang.
"Malah tiada ketua jabatan yang dijemput pada
persidangan hari ini dan saya juga perlu memaklumkan bahawa tiada sesi soal jawab
kali ini bagi memendekkan tempoh masa kita berada dalam dewan. Semoga kita
dapat kembali kepada amalan biasa pada masa depan," katanya.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment