PEKAN, 28 April --
Unik. Bedilan meriam sebanyak satu das bagi menandakan sudah masuk waktu
maghrib sepanjang Ramadan sebagai panduan berbuka puasa di bandar diraja ini
selain laungan azan.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata
tradisi menembak meriam itu sudah dimulakan sejak lebih 40 tahun lepas dengan
menggunakan dua laras meriam jenis Bavaria Gun M635 daripada Jerman yang setiap
satu seberat 415 kilogram.
"Tradisi menembak meriam dipercayai bermula disebabkan
ramai penduduk pada waktu dahulu tidak mempunyai radio dan kedudukan rumah yang
jauh dari masjid menyebabkan mereka sukar untuk mengetahui jika sudah masuk
waktu maghrib.
"Kedudukan meriam yang dihalakan ke arah Istana Abu
Bakar juga adalah tradisi kerana dahulunya ia sebagai pemakluman waktu berbuka
kepada Sultan Pahang yang bersemayam di situ dan bunyi tembakan boleh didengar
sejauh satu kilometer," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Mohd Razli berkata dua laras meriam itu digunakan secara
bergilir sepanjang bulan Ramadan, dengan tugasan menembak dilakukan oleh empat
anggota daripada cawangan persenjataan
Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.
Selain tembakan berbuka puasa, Mohd Razli berkata tembakan
satu das juga dilepaskan untuk memaklumkan penduduk bermulanya bulan Ramdan dan
pengisytiharan Aidilfitri, yang dibuat selepas pengumuman oleh Penyimpan Mohor
Besar Raja-Raja.
"Lazimnya kami akan membuat percubaan seminggu sebelum
jangkaan tarikh puasa bagi memastikan meriam berada dalam keadaan baik dan akan
diselenggara selepas pengisytiharan raya sebelum disimpan untuk kegunaan tahun
hadapan," katanya.
Sementara itu, Koperal Mohd Zahri Ab Rahman yang ditugaskan
melepaskan tembakan meriam itu sejak tahun 2003 berkata persiapan akan dibuat
10 minit sebelum masuk waktu Maghrib dan akan melepaskan tembakan terlebih
dahulu sebelum berbuka puasa.
"Saya diajar begitu oleh anggota sebelumnya supaya
penduduk tidak lewat untuk berbuka. Tambahan pula, tugasan ini hanya mengambil
masa beberapa saat, jadi kami yang bertugas juga tidak lambat sebenarnya untuk
berbuka," katanya.
Mohd Zahri berkata dua anggota akan melakukan tugasan itu
setiap hari dan mereka akan membawa dua butir peluru sebagai 'persediaan'
memandangkan pernah berlaku tembakan yang dilepaskan tidak mengeluarkan bunyi.
SUMBER -- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment