Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 7, 2020

LANTIK KP SPRM BERKALIBER, BERINTEGRITI… JANGAN PILIH TANGKAP MUAT SEPERTI PH




KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diseru supaya memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih berkaliber dan berintegriti selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penyiasatan serta pencegahan rasuah.


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, lantikan bukannya sekadar tangkap muat kerana mencegah rasuah ini memerlukan komitmen yang tinggi demi masa depan negara yang lebih proaktif.


“Usah diulangi kesilapan lalu yang tidak memandang serius kepada inisiatif pencegahan rasuah ini. Lantiklah Ketua Pesuruhjaya yang mempunyai pengalaman serta kemampuan dalam bidang tersebut. Janganlah menjadikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai satu jawatan lantikan politik seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu ini.


Dilaporkan, semalam Latheefa Koya telah mengesahkan khabar angin yang berlegar bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.


“Keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu di dalam SPRM itu bukan sekadar wajar, malah amat wajar!


“Ini kerana, sejak dilantik ke jawatan itu tahun lalu, Latheefa Koya dilihat gagal mengurus persepsi rasuah di negara ini dengan baik. Sebaliknya, keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terus merosot dan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kredebilitinya.


“Kegagalan Latheefa Koya dalam memimpin SPRM ini dikatakan sebagai sebahagian daripada punca hilangnya kepercayaan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan PH.”


Maka katanya, atas sebab itulah apabila Kerajaan PH tumbang beberapa hari lepas dengan majoriti rakyat menyambut baik dan gembira kerana mereka sudah bosan dengan drama serta janji-janji yang tidak ditunaikan.


“Apatah lagi, sejak Mei 2018, SPRM dilihat seperti menjadi alat oleh Latheefa Koya yang lebih berminat mengenakan tindakan terpilih dengan niat serta agenda politik tertentu.”


Dalam hal ini juga, beliau turut menyeru kerajaan baharu agar mempertimbangkan untuk melantik pegawai dari kalangan kakitangan awam khususnya dari agensi SPRM sendiri untuk diangkat ke jawatan tersebut.


“Pegawai dari kalangan kakitangan awam khususnya daripada SPRM sendiri yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyiasatan dan pendakwaan serta tidak mempunyai sebarang agenda tersendiri lebih layak untuk diberi tanggungjawab bagi menggalas amanah rakyat untuk membanteras kegiatan rasuah di negara ini.


“Yakin dan percayalah kepada pegawai dari kalangan kakitangan awam dan SPRM sendiri untuk diberi peluang memimpin agensi tersebut. Mereka lebih tahu. Mereka lebih telus, dan paling penting mereka tidak mempunyai sebarang agenda politik tertentu seperti mana Latheefa Koya sebelum ini yang sememangnya sinonim dengan parti politik di dalam PH.


“Justeru, kami juga senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu SPRM dikembalikan menjadi sebuah agensi yang telus serta tidak dipengaruhi mana-mana individu atau parti politik dalam menjalankan tugas penyiasatan dan pendakwaan terhadap jenayah rasuah di negara ini.


“SPRM perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk mengambil tindakan kepada sesiapa pun yang melakukan rasuah tanpa mengira ideologi serta parti politik mereka.”


Beliau turut melahirkan rasa percaya dengan pengalaman serta ketokohan Tan Sri Muhyiddin serta kepimpinan lain khususnya dari Muafakat Nasional, maka mampu untuk menjayakan hasrat membersihkan Malaysia daripada jenayah rasuah.


“Mereka juga telah mengatakan berulang kali mengenai komitmen masing-masing untuk memerangi rasuah habis-habisan. Yakinlah dengan mereka. Kerana Kerajaan baharu ini tidak seperti Kerajaan PH yang hanya melepaskan batok di tangga,” katanya lagi.



SUMBER – UMNO Online

0 comments:

share2