KUALA LUMPUR, 7 Mac – Kerajaan baharu di bawah kepimpinan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diseru supaya memilih Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih berkaliber
dan berintegriti selain mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penyiasatan
serta pencegahan rasuah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd
Zaidy Abdul Kadir berkata, lantikan bukannya sekadar tangkap muat kerana
mencegah rasuah ini memerlukan komitmen yang tinggi demi masa depan negara yang
lebih proaktif.
“Usah diulangi kesilapan lalu yang tidak memandang serius
kepada inisiatif pencegahan rasuah ini. Lantiklah Ketua Pesuruhjaya yang
mempunyai pengalaman serta kemampuan dalam bidang tersebut. Janganlah
menjadikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai satu jawatan lantikan politik
seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,”
katanya dalam kenyataan berkaitan isu ini.
Dilaporkan, semalam Latheefa Koya telah mengesahkan khabar
angin yang berlegar bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua
Pesuruhjaya SPRM.
“Keputusan beliau untuk meletakkan jawatan sebagai orang
nombor satu di dalam SPRM itu bukan sekadar wajar, malah amat wajar!
“Ini kerana, sejak dilantik ke jawatan itu tahun lalu,
Latheefa Koya dilihat gagal mengurus persepsi rasuah di negara ini dengan baik.
Sebaliknya, keyakinan rakyat terhadap agensi tersebut terus merosot dan rakyat
semakin hilang kepercayaan terhadap kredebilitinya.
“Kegagalan Latheefa Koya dalam memimpin SPRM ini dikatakan
sebagai sebahagian daripada punca hilangnya kepercayaan rakyat kepada
pentadbiran Kerajaan PH.”
Maka katanya, atas sebab itulah apabila Kerajaan PH tumbang
beberapa hari lepas dengan majoriti rakyat menyambut baik dan gembira kerana
mereka sudah bosan dengan drama serta janji-janji yang tidak ditunaikan.
“Apatah lagi, sejak Mei 2018, SPRM dilihat seperti menjadi
alat oleh Latheefa Koya yang lebih berminat mengenakan tindakan terpilih dengan
niat serta agenda politik tertentu.”
Dalam hal ini juga, beliau turut menyeru kerajaan baharu
agar mempertimbangkan untuk melantik pegawai dari kalangan kakitangan awam
khususnya dari agensi SPRM sendiri untuk diangkat ke jawatan tersebut.
“Pegawai dari kalangan kakitangan awam khususnya daripada
SPRM sendiri yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyiasatan dan pendakwaan
serta tidak mempunyai sebarang agenda tersendiri lebih layak untuk diberi
tanggungjawab bagi menggalas amanah rakyat untuk membanteras kegiatan rasuah di
negara ini.
“Yakin dan percayalah kepada pegawai dari kalangan
kakitangan awam dan SPRM sendiri untuk diberi peluang memimpin agensi tersebut.
Mereka lebih tahu. Mereka lebih telus, dan paling penting mereka tidak
mempunyai sebarang agenda politik tertentu seperti mana Latheefa Koya sebelum
ini yang sememangnya sinonim dengan parti politik di dalam PH.
“Justeru, kami juga senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu SPRM dikembalikan
menjadi sebuah agensi yang telus serta tidak dipengaruhi mana-mana individu
atau parti politik dalam menjalankan tugas penyiasatan dan pendakwaan terhadap
jenayah rasuah di negara ini.
“SPRM perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk mengambil
tindakan kepada sesiapa pun yang melakukan rasuah tanpa mengira ideologi serta
parti politik mereka.”
Beliau turut melahirkan rasa percaya dengan pengalaman serta
ketokohan Tan Sri Muhyiddin serta kepimpinan lain khususnya dari Muafakat
Nasional, maka mampu untuk menjayakan hasrat membersihkan Malaysia daripada
jenayah rasuah.
“Mereka juga telah mengatakan berulang kali mengenai
komitmen masing-masing untuk memerangi rasuah habis-habisan. Yakinlah dengan
mereka. Kerana Kerajaan baharu ini tidak seperti Kerajaan PH yang hanya
melepaskan batok di tangga,” katanya lagi.
SUMBER – UMNO Online
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor