KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
mendesak agar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun
agar mengikut jejak Tommy Thomas dan Latheefa Koya yang telahpun meletakkan
jawatan masing-masing sebagai Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM secara
sukarela setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kata ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, umum telah
menyaksikan pelantikan Datuk Azhar sebagai Pengerusi SPR lebih mirip kepada
perlantikan politik, bahkan tidak memenuhi Janji No.17 Manifesto PH yang
memerlukan perlantikan ahli SPR melalui proses perakuan oleh Parlimen, selain
membebaskan sepenuhnya SPR daripada campur tangan Perdana Menteri dan ahli
politik dengan meletakkannya di bawah pemantauan Parlimen.
“Lebih dikesali sikap pilih kasih beliau dalam menangani
begitu banyak kes-kes aduan salah laku pilihanraya sepanjang siri-siri Pilihan
Raya Kecil (PRK) mahupun peraturan-peraturan baharu yang diperkenalkan, yang
menyaksikan sikap bias dalam perhitungan badan yang harus bebas daripada unsur
kepartian,” katanya dalam kenyataan menerusi facebook beliau.
Tegasnya, banyak jika ingin disenaraikan pelbagai tindak tanduk
SPR di bawah Datuk Azhar Harun yang dilihat memihak dan bias.
“Justeru Pemuda UMNO sekali lagi menegaskan keperluan Datuk
Azhar Harun meletakkan jawatan secara terhormat bagi memulihkan keyakinan
rakyat terhadap SPR sebagai badan yang mesti dilihat bebas daripada cengkaman
mahupun pengaruh parti politik.”
Berikut antara 10 perkara utama yang menampakkan sikap
memihak beliau termasuklah:
1. Syarat baharu secara tiba-tiba diperkenalkan SPR yang
mewajibkan jentera parti dan calon mendapatkan permit polis untuk berkempen
rumah ke rumah, hanya 3 hari sebelum hari pengundian di PRK Tanjung Piai.
2. Kegagalan SPR menghalang kehadiran calon DAP yang bebas
berada di pusat-pusat mengundi dengan memakai pakaian berlogo parti waktu PRK
Parlimen Cameron Highlands yang jelas menyalahi peraturan dan Akta Kesalahan
Pilihanraya 1954.
3. Kegagalan SPR mengambil tindakan terhadap beberapa aduan
rasuah pemberian hamper-hamper kepada pengundi dalam PRK Parlimen Cameron
Highlands.
4. Pemberian simcard percuma kepada pengundi oleh calon PH
Haji Karmain dalam PRK Parlimen Tanjung Piai yang jelas menyalahi Seksyen
10(a)Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
5. Pengagihan minyak sawit kepada pengundi ketika berkempen
di PRK Parlimen Tanjung Piai oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok yang jelas
menyalahi Seksyen 10(a)Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
6. Pengumuman peruntukan sebanyak RM3 juta membina dewan di Kukup oleh Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu Zuraida Kamaruddin yang
menyalahi Seksyen 10(a)Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
7. Pemberian Geran MPPK berjumlah RM230,000 dan peruntukan
RM126,776 bagi Lampu Jalan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun
ketika PRK Parlimen Tanjung Piai yang menyalahi Seksyen 10(a)Akta Kesalahan
Pilihanraya 1954.
8. Pengumuman peruntukan RM4 juta untuk naik taraf kemudahan
sukan dan rekreasi Tanjung Piai oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddi yang
menyalahi Seksyen 10(a)Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
9. Pengumuman peruntukan RM3 juta untuk tambah baik 3 jeti
di Tangjung Piai, RM2 juta bagi bantuan Nelayan dan sumbangan RM5,000 untuk
SJKC Pei Chio Kukup Laut oleh Menteri Pertanian YB Salahuddin Ayub. (Seksyen
10(a)Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
10. Ceramah Hasutan dan rasis perkauman Setiausaha Agong DAP
merangkap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertanian waktu itu
Salahuddin Ayub yang jelas bertentangan dengan Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan
Pilihanraya 1954
SUMBER . – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor