Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad
Pada 28 Februari, lebih kurang jam 11 pagi, saya menyiapkan
rencana saya bertajuk “Melayu Tertipu Lagi” dengan membuat beberapa kesimpulan,
antaranya:
1. Orang yang menggagalkan penubuhan kerajaan PN adalah Tun
Dr. Mahathir.
2. Dalam peristiwa ini, Tun Dr Mahathir dan DS Anwar
sama-sama tidak boleh
dipercayai. Diharapkan peristiwa ini akan menyingkirkan
kedua-dua mereka daripada arena politik negara….
3. UMNO, PAS, Bersatu (termasuk kumpulan Azmin) hendaklah
bersatu teguh. Saya percaya, jika perikatan mereka kuat, parti-parti di Sabah
dan Sarawak, MCA dan MIC akan menyertai mereka yang berkemungkinan membolehkan
mereka menubuh kerajaan baru. Tetapi, ini hanya boleh dilakukan tanpa Tun Dr
Mahathir dalam Bersatu kerana baliau tidak boleh menerima UMNO sebagai satu
parti.
Pada masa itu, belum nampak penyelesaian krisis itu.
Terdapat tiga kumpulan, kumpulan Tun Dr. Mahathir, kumpulan DS Anwar dan
kumpulan TS Muhyiddin yang disokong kuat oleh UMNO dan PAS, masing-masing tidak
mempunyai majoriti.
Dalam masa 24 jam sehingga petang 29 Februari, kita dengar
cerita berbagai-bagai perkembangan; PH mencalonkan DS Anwar sebagai calon PM;
DS Anwar dan pemimpin-pemimpin DAP dengan angkuh mengatakan “we have the
numbers”;
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Waritan Sabah
(Warisan) sekejap diberitakan menyokong Tun Dr. Mahathir, sekejap menokong DS
Anwar dan sekejap menyokong TS Muhyiddin; DS Anwar sekejap menyokong Tun Dr
Mahathir, sekejap menawarkan dirinya sebagai calon dan berlagak seperti sudah
pasti akan dilantik; Tun Dr Mahathir yang enggan menerima kekalahan,
bermodalkan sokongan GPS dan Warisan, membuat perkiraan dengan PKR, DAP dan Amanah untuk ditonjolkan
semula sebagai calon PH, yang bererti kerajaan PH yang ditamatkannya dengan
peletakan jawatannya hendak dihidupkan semula dan DS Anwar sanggup mengundur
diri daripada menjadi calon PM demi menyelamatkan kerajaan PH.
Perkembangan yang terakhir disebut itu menunjukkan sejauh
mana DS Anwar dan Lim Kit Siang sangup berkompromi untuk menyelamatkan kerajaan
PH kerana, mereka tahu, jika mereka terlepas kuasa, mereka akan berada di
kedudukan yang merugikan.
Akhirnya, pada petang 29 Februari, terbitlah kenyataan
Istana Negara yang dengan rasminya mengatakan bahawa YDPA telah berkenan
melantik TS Muhyiddin sebagai Perdana Meteri Kelapan.
Kita berhenti di sini dahulu untuk membuat beberapa
pemerhatian.
1. Dengan keluarnya kenyataan itu, tamatlah krisis seminggu
itu. (Apa yang akan berlaku selepas itu, akan dibincang berikutnya)
2. Dengan terlantiknya TS Muhyiddin sebagai PM, Tun Dr
Mahathir dan DS Anwar tersingkir daripada perebutan untuk menjadi PM. Mereka
akan terus menimbulkan masalah. Itu keistimewaan dan kepakaran mereka berdua.
Diharapkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sudah muak dengan tindak tanjuk
mereka dan mengenepikan mereka untuk selama-lamanya.
3. Orang Melayu merasa lega kerana tidak lagi akan melihat
karenah Lim Guan Eng, Mujahid, Waytha Moorhy, Theresa Kok, Syed Sdiq, Mat Sabu
dan lain-lain.
4. Peletakan jawatan Tommy Thomas memberi nafas lega kepada
lebih seribu pegawai-pegawai perundangan, ada yang telah memberi perkhidmatan
lebih daripada tiga puluh tahun, menjadi pakar dalam bidang masing-masing
tetapi tidak diberi kepercayaan terhadap kepakaran mereka mereka oleh Tommy
Thomas.
Sebaliknya beliau melantik peguam-peguam swasta dan dibayar
upah dengan wang pembayar cukai. Diharapkan seorang pegawai daripada
Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berintegriti, berpengalaman
dan berkaliber akan dilantik mengganti beliau. Demikian juga diharapkan seorang
pegawai MACC yang kanan, berintegriti, berpengalaman dan berkaliber akan
dilantik mengganti Latheefa Koya.
Tetapi, sebaik sahaja kenyataan itu diterbitkan,
pemimpin-pemimpin PH, diketuai Tun Dr Mahathir bersama-sama DS Anwar telah
menolak keputusan yang dibuat oleh YDPA itu.
Itu tidak menghairankan. Mereka akan merayu dengan lemah
longlai untuk mendapat pengampunan. Mereka terima pengampunan walaupun cara
dilakukannya menyalahi prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Tetapi,
apabila YDPA membuat satu keputusan yang tidak menyebelahi mereka, YDPA pun
mereka tentang. Ini menunjukkan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk
mencapai matlamat mereka. Mereka tidak mempunyai had dan batasan.
Perkara 40 (2), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi
bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;”
Perlembagaan tidak menetapkan bagaimana baginda hendak
melaksanakan budi bicara itu. Tetapi, adalah patut bahawa baginda melantik
seorang ahli Parlimen yang mengikut hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan
majoriti ahli-ahli Parlimen. Jika tidak, undi tidak percaya mungkin akan dibuat
dan, jika berjaya, PM itu hendaklah meletak jawatan dan masalah berulang
semula.
Dalan kata-kata lain, YDPA tidak dikehendaki menemuduga
setiap ahli Parlimen, apatah lagi mengambil kira senarai yang dibuat oleh Tun
Dr Mahathir, untuk membuat keputusan itu.
Sekarang, keputusan telah dibuat, Perdana Menteri telah
dilantik, tidak usahlah memperdulikan apa kata Tun Dr Mahathir, mahupun
senarainya. Jika beliau dan PH tidak berpuas hati, mereka bolehlah mengemukakan
undi tidak percaya di Parlimen. Itu caranya, bukan mencabar budi bicara YDPA.
Bagaimana kedudukan Tun Dr Mahathir dan ahli-ahli Parlimen
dalam senarai Tun Dr Mahathir yang tidak menyokong TS Muhyiddin, dalam Bersatu?
Saya ulangi apa yang saya katakan dalam rencana saya “Melayu
Tertipu Lagi”, jika mereka tidak mengikut pendirian parti, singkirkan mereka.
Pagi ini, saya teruja melihat pemimpin-pemimpin UMNO. PAS
dan Bersatu bersama-sama ke Istana Negara untuk menubuh kerajaan baru.
Diharapkan ia berkekalan.
GPS dan Warisan eloklah berfikir semula dan tidak lagi
mengikut Tun Dr Mahathir ke mana sahaja yang dibawanya. Sudah tiba masanya
beliau ditinggalkan atau disingkirkan.
Beliau telah terlalu banyak membuat masalah sepanjang tempoh
beliau menjadi PM;
Menyebabkan krisis Perlembagaan dengan Raja-Raja sebanyak
dua kali;
Menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas;
Menyebabkan UMNO dibatalkan;
Bergaduh dengan Tun Musa Hitam;
Bergaduh dengan DS Anwar;
Bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi;
Bergaduh dengan DS Najib;
Menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada DAP;
Menyebabkan krisis Perlembagaan lagi, sekarang;
Mencabar YDPA;
Masuk keluar UMNO entah berapa kali.
Nampaknya selagi beliau ada dalam arena politik, beliau
tidak berhenti-henti menimbulkan masalah.
Cukuplah.
Kita mulakan hari baru, tanpa Tun Dr. Mahathir, DS Anwar dan
Lim Kit Siang.
Dipetik dari laman web beliau di pautan;
SUMBER: https://www.editormalaysia.com/13753/
0 comments:
Post a Comment