KUANTAN - Papan tanda berlampu 'Selamat Datang Ke Kuantan'
yang menghiasi pintu masuk utama ke bandar ini dari Gambang sejak sebulan lalu
menjadi mangsa khianat pihak tidak bertanggungjawab.
Kejadian disedari pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK)
semalam selepas mendapati lampu hiasan yang dipasang di mercu tanda itu dicuri
manakala sistem pendawaian elektriknya juga dirosakkan.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati
Kamal berkata, pencahayaan lampu hiasan yang dipasang di lokasi itu dengan kos
RM3,000 sejak sebulan lalu sebagai inisiatif untuk menceriakan bandar Kuantan
terutama di laluan pintu masuk utamanya.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima rungutan orang
ramai berhubung masalah jalan gelap di Jalan Kuantan-Gambang yang menjadi salah
satu pintu masuk utama ke bandar ini.
"Walaupun jalan berkenaan bukan di bawah MPK, namun
kita mengambil inisiatif membelanjakan sejumlah peruntukan bagi menceriakannya
dengan pencahayaan lampu hiasan.
"Malangnya usaha kita ini hanya bertahan sebulan
sebelum lampunya dicuri dan sistem pendawaian elektrik dirosakkan,"
katanya.
Norkamawati berkata, pihaknya akan membuat laporan polis
berhubung kejadian tersebut.
"Susulan kejadian itu, pihak MPK akan mencari jalan
terbaik bagi membendung kejadian itu daripada terus berulang bukan hanya
melibatkan kecurian lampu hiasan tetapi melibatkan isu vandalisme terhadap
semua kemudahan-kemudahan awam yang disediakan," katanya.
Beliau berkata, sama ada pencahayaan lampu hiasan di lokasi
itu akan dipasang semula atau sebaliknya bergantung kepada keputusan pihak
pengurusan.
Sumber
0 comments:
Post a Comment