KUALA LUMPUR, 17 Feb – Tolong tunjukkan bahagian mana yang
kata Barisan Nasional (BN) rompak duit RM8 bilion FELDA seperti didakwa Pakatan
Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)? Soal bekas Perdana
Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Katanya, kertas putih FELDA menjelaskan bahawa bahagian
besar hutang RM8 bilion FELDA sebenarnya dipinjam semula kepada 84,388 peneroka
FELDA (muka surat 17-19) untuk pembesaran rumah, Skim Insentif Usahawan,
Institusi Pengajian Tinggi, komputer dan penanaman semula.
“Kertas putih juga jelaskan bahawa bahagian besar wang
diperolehi oleh FELDA dari penyenaraian FGV adalah dibayar kepada peneroka,
koperasi peneroka, sumbangan kepada negeri, Pinjaman Pembesaran Rumah Peneroka
dan sebagainya (muka surat 28), namun PH gelar bayaran-bayaran ini adalah
“penggunaan tidak produktif” dalam kertas putih mereka.
“Kongsi keuntungan dengan peneroka pun digelar penggunaan
tidak produktif ke? Soal Najib dalam satu hantaran di Facebook.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan turut melampirkan
pautan kertas putih serta laporan forensik FELDA yang dibuat oleh kerajaan PH
itu (klik di sini).
Ulas Ahli Parlimen Pekan itu lagi, pada bulan April tahun
lepas, FELDA diarahkan untuk membuat laporan polis terhadapnya bahawa beliau
telah menipu wang FELDA untuk membeli syarikat ladang Indonesia Eagle High
Plantation sehingga mereka mengalami kerugian besar.
“Masa itu, saya dedahkan sebahagian dari kertas putih Felda
ini untuk bela diri.
“Tetapi kerajaan PH amat marah kerana saya telah
menbongkarkan penipuan mereka sehingga mahu ambil tindakan saya dalam Dewan
Rakyat,” ujarnya lagi.
Sekarang tambahnya, rakyat boleh baca keseluruhan kertas
putih ini tentang pembelian Eagle High.
“Bukan wang FELDA yang digunakan untuk membeli EHP tetapi
pinjaman dari Kementerian Kewangan dengan kadar faedah kos bon kerajaan + 0.15%
(sekitar 3.5% + 0.15%) untuk tempoh 7 tahun.
“Terdapat ‘Put Option’ dalam perjanjian pembelian di mana
FELDA boleh mendapat semula pelaburan dan keuntungan dengan kadar faedah 6%
setahun selepas 5 tahun jika tidak mahu teruskan untuk memiliki saham Eagle
High.
“Ini bermakna ianya bukan wang FELDA yang digunakan dan
FELDA akan tetap untung dengan pembelian ini kerana pulangan dari ‘Put Option’
itu adalah lebih tinggi berbanding dengan kos pinjaman FELDA dari kerajaan.
Oleh kerana ‘Put Option’ ini, harga saham EHP masa dibeli tidak penting,”
jelasnya.
Dengan itu, tanya Najib lagi di manakah bahagian dalam
kertas putih tersebut yang menyatakan beliau menipu duit FELDA dan FELDA rugi
kerana membeli Eagle High.
“Sebab itu, laporan polis FELDA pada bulan April 2019 itu
tidak ke mana.
“Sebab itu juga, PH amat takut untuk tunaikan janji
manifesto mereka untuk melaksanakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk
FELDA setelah bertahun-tahun tuduh BN merompak dan menyeleweng FELDA,”
tempelaknya lagi.
Bagaimanapun tambah Najib, Tan Sri Isa Samad telah didakwa
menerima rasuah RM3 juta (bukan berbilion-bilion) dalam kes FELDA walaupun
pihak yang setiap kali meminta, mengirim salam dan mengambil wang tersebut
adalah setiausaha politik Perdana Menteri Ketujuh.
“Pihak sebenarnya yang tipu FELDA adalah PH yang menipu
peneroka bahawa hutang mereka akan dimansuhkan bila menang PRU14,” tegasnya.
SUMBER – UMNO ONLINE
https://umno-online.my/2020/02/17/kertas-putih-ph-tipu-peneroka-sila-tunjukkan-bukti-bn-rompak-duit-felda-bidas-najib/
0 comments:
Post a Comment