Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 27, 2020

FPFP 2020 PAPAR KEUPAYAAN PAHANG TERIMA PELABURAN BERIMPAK TINGGI




KUANTAN, 27 FEBRUARI 2020: Forum Pelaburan Dan Festival Pahang 2020 (FPFP 2020) yang
akan diadakan pada April ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Pahang bagi memaparkan
keupayaan serta kesediaan negeri ini untuk menerima pelaburan berimpak tinggi.


Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini yang
bukan sahaja akan dapat memberikan manfaat khusus kepada para pelabur tetapi juga
kepada keseluruhan anak negeri Pahang secara amnya.


Katanya, forum ini merupakan salah satu usaha berterusan oleh Kerajaan Negeri untuk
menjadikan Pahang lebih berdaya saing, terutamanya dalam menghadapi situasi
perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa yang semakin mencabar.


“Antara perkara asas yang ingin dinatijahkan di dalam penganjuran forum ini adalah kesediaan
Negeri Pahang menjadi sebuah negeri yang berkeupayaan untuk berdikari, dengan
memberikan tumpuan utama, khasnya kepada sektor pelancongan dan juga sektor-sektor
ekonomi lain yang berpotensi besar untuk dimajukan.


“Umum mengetahui bahawa Pahang merupakan destinasi utama pilihan pelancong di
Malaysia, dengan kemasukan pelancong tempatan (domestik) seramai 9.2 juta orang
sepertimana yang dicatatkan pada tahun 2018.


“Ini meletakkan Negeri Pahang sebagai negeri yang paling kerap dikunjungi oleh para
pelancong tempatan, berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya dalam satu
kenyataan media di dalam laman Facebook miliknya di sini hari ini.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan inisiatif penganjuran forum ini, jumlah
keuntungan dari aktiviti pelancong akan dapat ditingkatkan, selari dengan pertambahan
pelaburan yang bakal masuk ke dalam negeri ini untuk masa akan datang.


Sementara itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui forum ini akan
diadakan selama empat hari tiga malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ) bermula 9
April hingga 12 April ini.


 “Program seperti slot pemadanan perniagaan (business matching), konferensi bersama ketua
pegawai eksekutif anak syarikat negeri (Pahang GLC CEO Conference) dan Bazar Produk
Keluaran Pahang akan diadakan bagi memberi gambaran kepada pelabur asing dan tempatan
akan luasnya potensi pelaburan yang boleh dicapai sekiranya mereka melabur di negeri ini.


“Forum ini turut akan memperkenalkan adat budaya Pahang seperti cara penyediaan
makanan tradisi, seni persembahan dan juga seni halus melalui slot pengenalan budaya. Para
hadirin turut akan disajikan dengan persembahan seni budaya Negeri Pahang Darul Makmur
seperti Tarian Piring, Gendang Pahang dan lain-lain secara ekslusif,” katanya.


Menurut beliau, pengunjung dan peserta forum juga cukup bertuah kerana Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billa Shah diiringi oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong TuankuHajah Azizah Aminah Maimunah bersama KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota


Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah akan berangkat mencemar duli.


“Lebih istimewa adalah di dalam forum dan festival ini, Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong
sendiri akan mengadakan demonstrasi masakan Diraja Pahang khas untuk disaksikan oleh
para hadirin.       


“Sepanjang forum ini berlangsung, turut akan diadakan sesi town hall yang mana saya sendiri
akan berbicara bersama anak-anak Negeri Pahang yang berada di perantauan. Sesi ini
bertujuan untuk kita mengenal pasti sebarang cadangan, idea atau permasalahan yang
dialami oleh anak-anak Pahang dan bagaimana Kerajaan Negeri Pahang berupaya untuk
membantu mereka,” katanya.


Justeru beliau menjemput seluruh rakyat Malaysia yang berkelapangan, untuk hadir ke forum
berkenaan untuk meneroka potensi Negeri Pahang Darul Makmur, demi masa hadapan yang
lebih gemilang dan kemakmuran yang dapat dikongsi bersama.



SUMBER – PAHANGMEDIA

0 comments:

share2