KUANTAN, 27 FEBRUARI 2020: Forum Pelaburan Dan Festival
Pahang 2020 (FPFP 2020) yang
akan diadakan pada April ini merupakan satu inisiatif
Kerajaan Pahang bagi memaparkan
keupayaan serta kesediaan negeri ini untuk menerima
pelaburan berimpak tinggi.
Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan
Ismail berkata, perkara ini yang
bukan sahaja akan dapat memberikan manfaat khusus kepada
para pelabur tetapi juga
kepada keseluruhan anak negeri Pahang secara amnya.
Katanya, forum ini merupakan salah satu usaha berterusan
oleh Kerajaan Negeri untuk
menjadikan Pahang lebih berdaya saing, terutamanya dalam
menghadapi situasi
perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa yang semakin
mencabar.
“Antara perkara asas yang ingin dinatijahkan di dalam penganjuran
forum ini adalah kesediaan
Negeri Pahang menjadi sebuah negeri yang berkeupayaan untuk
berdikari, dengan
memberikan tumpuan utama, khasnya kepada sektor pelancongan
dan juga sektor-sektor
ekonomi lain yang berpotensi besar untuk dimajukan.
“Umum mengetahui bahawa Pahang merupakan destinasi utama
pilihan pelancong di
Malaysia, dengan kemasukan pelancong tempatan (domestik)
seramai 9.2 juta orang
sepertimana yang dicatatkan pada tahun 2018.
“Ini meletakkan Negeri Pahang sebagai negeri yang paling
kerap dikunjungi oleh para
pelancong tempatan, berbanding dengan negeri-negeri lain di
Malaysia,” katanya dalam satu
kenyataan media di dalam laman Facebook miliknya di sini
hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan inisiatif
penganjuran forum ini, jumlah
keuntungan dari aktiviti pelancong akan dapat ditingkatkan,
selari dengan pertambahan
pelaburan yang bakal masuk ke dalam negeri ini untuk masa
akan datang.
Sementara itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
berkata, melalui forum ini akan
diadakan selama empat hari tiga malam di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) ) bermula 9
April hingga 12 April ini.
“Program seperti slot
pemadanan perniagaan (business matching), konferensi bersama ketua
pegawai eksekutif anak syarikat negeri (Pahang GLC CEO
Conference) dan Bazar Produk
Keluaran Pahang akan diadakan bagi memberi gambaran kepada
pelabur asing dan tempatan
akan luasnya potensi pelaburan yang boleh dicapai sekiranya
mereka melabur di negeri ini.
“Forum ini turut akan memperkenalkan adat budaya Pahang
seperti cara penyediaan
makanan tradisi, seni persembahan dan juga seni halus
melalui slot pengenalan budaya. Para
hadirin turut akan disajikan dengan persembahan seni budaya
Negeri Pahang Darul Makmur
seperti Tarian Piring, Gendang Pahang dan lain-lain secara
ekslusif,” katanya.
Menurut beliau, pengunjung dan peserta forum juga cukup
bertuah kerana Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billa Shah diiringi oleh KDYMM Seri Paduka
Baginda Permaisuri Agong TuankuHajah Azizah Aminah Maimunah bersama KDYMM
Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah akan berangkat mencemar duli.
“Lebih istimewa adalah di dalam forum dan festival ini, Seri
Paduka Baginda Permaisuri Agong
sendiri akan mengadakan demonstrasi masakan Diraja Pahang khas
untuk disaksikan oleh
para hadirin.
“Sepanjang forum ini berlangsung, turut akan diadakan sesi
town hall yang mana saya sendiri
akan berbicara bersama anak-anak Negeri Pahang yang berada
di perantauan. Sesi ini
bertujuan untuk kita mengenal pasti sebarang cadangan, idea
atau permasalahan yang
dialami oleh anak-anak Pahang dan bagaimana Kerajaan Negeri
Pahang berupaya untuk
membantu mereka,” katanya.
Justeru beliau menjemput seluruh rakyat Malaysia yang
berkelapangan, untuk hadir ke forum
berkenaan untuk meneroka potensi Negeri Pahang Darul Makmur,
demi masa hadapan yang
lebih gemilang dan kemakmuran yang dapat dikongsi bersama.
SUMBER – PAHANGMEDIA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor