KUALA LUMPUR, 28 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin berkata adalah tidak tepat untuk Perdana Menteri Interim Tun Dr
Mahathir Mohamad terus memberikan gambaran bahawa beliau adalah Perdana Menteri
berkuasa penuh yang mesti kekal kerana mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.
Ini kerana tegasnya, kuasa melantik Perdana Menteri adalah
sepenuhnya di bawah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong (KDYMM SBP YDPA) dan bukannya Parlimen seperti yang
dicadangkan oleh Tun Mahathir.
“Saranan beliau bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah
ditentukan oleh Parlimen adalah salah, tidak mempunyai asas undang-undang,
mencabar lunas keluhuran Perlembagaan dan sangat tidak menghormati kuasa dan
fungsi YDPA dalam melantik Perdana Menteri.
“Sedangkan, sekiranya KDYMM Tuanku tidak yakin bahawa
seseorang pemimpin itu mempunyai kepercayaan dan sokongan dewan, yang lebih
molek adalah untuk DYMM Tuanku membubarkan Parlimen. Bukannya menyerahkan tugas
dan kuasa melantik Perdana Menteri tersebut kepada Parlimen,” ujarnya dalam
satu warkah terbuka kepada YDPA yang disiarkan di laman Facebooknya, hari ini.
Seterusnya, Khaled percaya bahawa DYMM Tuanku akan bertindak
dengan cara yang mengangkat kepentingan rakyat jelata dan keluhuran
Perlembagaan Persekutuan.
“Patik yakin bahawa tindakan dan perilaku yang ditonjolkan
oleh Tun Mahathir nyata bertujuan menjaga kepentingan politik beliau secara
peribadi dan kepentingan rakan-rakan politiknya dalam parti.
“Bukannya demi kepentingan rakyat dan negara ini.
“Semoga pandangan patik ini akan diperhalusi dan diberikan
perhatian oleh DYMM Tuanku,” tambahnya lagi.
Berikut merupakan teks penuh warkah dari Khaled.
Warkah Terbuka Kepada DYMM SPB YDPA
Ampun Tuanku,
Mutakhir ini kepimpinan cabang eksekutif negara berada dalam
kekalutan akibat peletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana
Menteri. Patik memohon izin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan dengan
penuh hormat dan rendah diri pandangan kepada DYMM Tuanku.
Sesungguhnya patik yakin dan percaya, kearifan DYMM Tuanku
dalam hal ini pasti mampu memberikan jalan keluar yang seadilnya.
Patik berpandangan bahawa perilaku Tun Mahathir dalam
kemelut ini adalah tidak wajar. Malah, dalam aspek tertentu kelihatan sangat
mencabar bidang kuasa DYMM Tuanku dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Pertama, tindakan Tun Mahathir mengganggu kuasa dan budi
bicara DYMM Tuanku dalam melantik Perdana Menteri atau Membubarkan Parlimen.
Hal ini jelas melihat kepada tindakan Tun Mahathir yang
nampaknya mendahului Istana dengan mengusulkan atau memberikan andaian bahawa,
jika dibenar, beliau akan menjadi Perdana Menteri kepada sebuah kerajaan
campuran, yang tidak berasaskan parti dan kepentingan politik.
Tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan sangat tidak
menghormati proses penentuan Perdana Menteri, yakni calon yang diyakini
mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti, yang masih dalam kiraan dan
pertimbangan oleh pihak DYMM Tuanku.
Kedua, Tun Mahathir adalah seorang Perdana Menteri Interim
yang mempunyai had dan bidang kuasa terhad.
Namun, tindakan beliau tidak menggambarkan bidang kuasa yang
terhad dan sementara. Sebaliknya, beliau bertindak seperti seorang Menteri yang
berkuasa penuh untuk melantik kabinet dan mengadakan sidang Parlimen.
Ketiga, kuasa melantik adalah bersama DYMM Tuanku selaku
Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Sudah pasti Tun Mahathir sedar, bukan Parlimen yang
menentukan atau melantik Perdana Menteri.
Adalah tidak tepat untuk Tun Mahathir terus memberikan
gambaran bahawa beliau adalah Perdana Menteri berkuasa penuh yang mesti kekal
kerana mempunyai sokongan majoriti di Parlimen. Ini kerana, kuasa melantik
Perdana Menteri adalah sepenuhnya di bawah YDPA dan bukannya Parlimen seperti
yang dicadangkan oleh Tun Mahathir.
Saranan beliau bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah
ditentukan oleh Parlimen adalah salah, tidak mempunyai asas undang-undang,
mencabar lunas keluhuran Perlembagaan dan sangat tidak menghormati kuasa dan
fungsi YDPA dalam melantik Perdana Menteri.
Sedangkan, sekiranya KDYMM Tuanku tidak yakin bahawa
seseorang pemimpin itu mempunyai kepercayaan dan sokongan dewan, yang lebih
molek adalah untuk DYMM Tuanku membubarkan Parlimen. Bukannya menyerahkan tugas
dan kuasa melantik Perdana Menteri tersebut kepada Parlimen.
Patik percaya bahawa DYMM Tuanku akan bertindak dengan cara
yang mengangkat kepentingan rakyat jelata dan keluhuran Perlembagaan
Persekutuan.
Patik yakin bahawa tindakan dan perilaku yang ditonjolkan
oleh Tun Mahathir nyata bertujuan menjaga kepentingan politik beliau secara
peribadi dan kepentingan rakan-rakan politiknya dalam parti. Bukannya demi
kepentingan rakyat dan negara ini.
Semoga pandangan patik ini akan diperhalusi dan diberikan perhatian
oleh DYMM Tuanku.
Menjunjung kasih Tuanku.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor