Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 26, 2020

BUBAR PARLIMEN PILIHAN TERBAIK UNTUK RAKYAT




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendokong sepenuhnya pendirian kepimpinan tertinggi UMNO bersama rakan Muafakat Nasional PAS, dan Barisan Nasional MCA, MIC dan PBRS untuk memohon perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mempertimbangkan untuk Parlimen dibubarkan.


Sokongan Pemuda UMNO adalah berpandukan kepada 5 ASAS berikut:


1. Kemelut politik negara yang berpunca daripada runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan setelah 21 bulan memerintah, disebabkan perbalahan kronik dalaman sesama kepimpinan parti-parti komponen PH mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri merupakan suatu yang amat memalukan dalam sejarah politik tanahair.


2. Kegagalan Tun Mahathir mengurus hanya empat parti komponen PH, memperkukuhkan lagi kewajaran untuk tidak diberikan kepercayaan sekali lagi untuk menerajui apa yang dicadangkan Tun Mahathir untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.


3. Suara rakyat tidak sesekali boleh diketepikan hanya untuk memenuhi hawa nafsu beberapa kerat individu yang rakus untuk berkuasa dan menduduki kerusi Perdana Menteri sehinggakan tercetusnya krisis politik yang memudaratkan negara ketika ini.


4. Dasar-dasar dan polisi-polisi Kerajaan PH sebelum ini yang ternyata gagal dalam mensejahterakan rakyat baik dari segi ekonomi, kos sara hidup yang kian meruncing, pentadbiran, kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dan hubungan luar negara, memerlukan mandat baru daripada rakyat.


5. Kegagalan Kerajaan PH sebelum ini menguruskan isu-isu yang menyentuh sensitiviti Agama, keharmonian antara kaum dan institusi-institusi teras negara termasuk institusi Raja-Raja Melayu, cukup meresahkan rakyat selama 21 bulan PH memerintah.


Justeru berasaskan 5 perkara di atas, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian betapa perlunya mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu dengan barisan kepimpinan negara yang tidak lagi sewenang-wenangnya memperjudikan nasib mereka hanya kerana perebutan ‘takhta’ kerusi Perdana Menteri.


Kami dengan ini rendah diri memohon limpah perkenan KDYMM SBP Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan untuk Parlimen dibubarkan bagi membolehkan mandat baharu diperolehi daripada rakyat melalui Pilihanraya Umum.


Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO 

0 comments:

share2