KUALA LUMPUR, 28 Feb – UMNO dan PAS sepakat mencalonkan
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin
sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri
Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Demikian kenyataan media yang ditandatangani bersama
Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Datuk
Takiyuddin Hassan di sini, hari ini.
“UMNO (dengan 39 Ahli Parlimen) dan PAS (dengan 18 Ahli
Parlimen) selaku gabungan MUAFAKAT NASIONAL telah bersetuju untuk mencalonkan
YB Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Pagoh (BERSATU) sebagai Perdana
Menteri Ke-8 untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut lagi, ini bermakna seramai 57 Ahli
Parlimen UMNO dan PAS memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin.
Sementara itu Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga dalam satu kenyataan hari ini berkata,
selain 39 Ahli Parlimen UMNO, tiga Ahli Parlimen dari komponen BN; dua Ahli
Parlimen MCA dan satu dari MIC turut menyatakan pendirian yang sama menyokong
pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan.
Untuk rekod, Istana Negara hari ini juga akan memberi
peluang kepada parti-parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat untuk
mencalonkan nama bakal Perdana Menteri.
Ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua
pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi
peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat
sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Ahmad Fadil juga menyentuh mengenai
temu bual yang berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Ahli-ahli Parlimen yang berlangsung
selama dua hari bermula Selasa di Istana Negara.
“Berdasarkan proses temu bual ini, Seri Paduka Baginda masih
belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat
baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk
kerajaan baharu,” katanya.
SUMBER – UMNO ONLINE
0 comments:
Post a Comment