Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 6, 2019

PAHANG NEGERI PERTAMA MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN DIGITAL SECARA PUSAT SEHENTI




KUANTAN: Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang (YP), YH Dato' Mahmud Mohd Nawawi berkata aplikasi PahangGo  yang diperkenalkan khusus untuk rakyat Pahang bukan sahaja mempunyai pelbagai kemudahan, malah turut menggalakkan rakyat terdedah dengan trend digital terkini.


Menurut beliau rakyat di negeri ini dijangka mendapat manfaat menerusi aplikasi PahangGo terutamanya dalam membuat pelbagai pembayaran bil dan cukai, selain mendapatkan hebahan informasi terkini berkaitan Kerajaan Negeri Pahang.


"Kerajaan Pahang bekerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh Malaysia termasuklah di peringkat antarabangsa bagi meluaskan lagi capaian digital seterusnya dapat melonjakkan produktiviti, mempertingkatkan penggabungan ekonomi di samping mempromosikan inovasi.


"Dijangka kira-kira 700,000 rakyat negeri ini akan menggunakan aplikasi PahangGo pada masa akan datang," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Bagi Strategi Perkembangan Bakat Digital di Kampus Utama Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP).


Pada majlis itu juga, UCYP turut melancarkan lima program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Islam (Perkhidmatan Perniagaan Halal) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Seni Visual (Rekabentuk Kreatif) (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian).


Sementara itu, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato' Dr. Ahmad Zainuddin berkata, lima program yang diperkenalkan ini merupakan permintaan pasaran pekerjaan pada hari ini dan masa hadapan.


"Kami berhasrat untuk melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai 'multi-skilled' bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan terkini," katanya.


Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cosmopoint dan UCYP.


SUMBER:
#KerajaanNegeriPahang
#UKOMP
#MajuTerusPahang

#Pahang1st

0 comments:

share2