Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 9, 2019

PRESTASI KUTIPAN HASIL PAHANG MEMBERANGSANGKAN, BERJAYA KUTIP RM442 JUTA DALAM MASA 8 BULAN







Prestasi kutipan hasil semasa untuk Negeri Pahang adalah dalam keadaan yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM442 juta dari tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jenis-jenis kutipan hasil yang banyak menyumbang kepada hasil negeri ialah hasil tanah, hasil hutan, hasil air dan juga hasil lain-lain.

"Jumlah itu menunjukan peningkatan sebanyak RM94.4 juta atau 27 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM347 juta.

"Saya dimaklumkan oleh Pejabat Kewangan Negeri bahawa sehingga Ogos 2019, hasil tanah yang telah berjaya dikutip ialah kira-kira RM253 juta, hasil hutan (RM54.2 juta), hasil air (RM1.93 juta) dan hasil-hasil lain (RM55.9 juta)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pemantapan Organisasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pahang Tahun 2019 di Bukit Gambang Resort City di Gambang di sini hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Aziz Haji Mat Kiram dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang.

YAB Menteri Besar turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai kerajaan khususnya dari Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah kerana giat berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri dan beliau harapkan usaha ini dapat digandakan untuk mencapai sasaran hasil yang telah tetapkan untuk tahun 2019 ini, iaitu RM703 juta.

"Kerajaan Negeri juga sedang memperkasakan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC). Saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2017 dan 2018, kesemua S-GLC ini telah mencatat keuntungan kira-kira RM405 juta.

"Bagi tahun semasa sehingga Ogos lepas, keuntungan yang direkodkan ialah kira-kira RM413 juta dan Kerajaan Negeri telah tetapkan bahawa, sebahagian daripada keuntungan tersebut akan dipulangkan kembali kepada rakyat. Apa bentuk pemulangan dan peratusannya, akan diputuskan setelah diadakan perbincangan bersama-sama dengan S-GLC ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, seminar hari ini dapat menghimpunkan seramai 542 orang pengerusi MPKK termasuk 94 orang penghulu dari 11 daerah seluruh negeri.

" Seminar ini juga ialah antara inisiatif Kerajaan Negeri, sebagai satu medium penghubung antara pentadbiran peringkat negeri bersama pentadbiran peringkat daerah dan juga kampung bagi memupuk semangat kerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan komuniti kampung.

"Inisiatif ini juga ialah untuk memastikan rakyat di kampung mengetahui segala perancangan yang telah dan sedang dilakukan oleh Pentadbiran Negeri di pelbagai peringkat, dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat bandar dan luar bandar tanpa prasangka politik, kaum dan latar belakang sosio-ekonomi mereka," katanya.


0 comments:

share2