Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 24, 2019

TARIAN LABI-LABI JADI TARIKAN TMM 2020 NEGERI PAHANG



Dayang Kartini Awang Bujang ( tiga dari kanan) dan Idros Yahya



Tarian Labi-Labi adaptasi daripada gerakan haiwan labi-labi akan diperkenalkan sebagai produk pelancongan Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang berkata, keunikan dan tarikan yang ada pada tarian Labi-Labi mempunyai potensi besar untuk dijadikan salah satu produk seni budaya Pahang.

Menurutnya, tarian yang popular di daerah Pekan dan Rompin itu kini diwarisi generasi baharu yang masih mengamalkan tradisi itu dalam majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, menyambut tetamu dan lain- lain.

Katanya, budaya seni dan hiburan tradisi Melayu silam itu perlu dikekalkan kerana mungkin akan hilang jika tidak diteruskan.

"JKKN dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan Kuantan telah menemu bual pengamal tarian ini seperti Awang Kechik Jusoh, Mat Junid Mat Noh dan Alwi Ibrahim di Pekan dan Rompin.

"Pengamal tarian Labi-Labi ini turut mempunyai kemahiran bersilat kerana gerakan tarian ini memerlukan kemahiran gerakan fizikal dan minda," katanya kepada Utusan Online selepas Apresiasi Seni Budaya JKKN Pahang 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang, Dato' Idros Yahya dan Pengarah Perpustakaan Negeri Faridzah Jaafar.

Dayang Kartini berkata, JKKN Pahang komited dalam usaha penyelidikan bagi mengembangkan warisan budaya agar boleh menjadi produk pelancongan yang bernilai komersial.

"JKKN Pahang membina jaringan kerjasama dengan pemain industri seni budaya, agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya untuk membangunkan produk seni,” katanya.

Beliau berkata, kita mahu pengamal budaya tidak hanya setakat hobi atau satu kebolehan turun-temurun, sebaliknya dijadikan sebagai sumber ekonomi utama.

Jelas beliau, itu dibuktikan apabila sesuatu produk seni dibawa ke pameran antarabangsa ia mampu mempersona dan menarik minat masyarakat luar.

Sehubungan itu ujarnya, pelbagai aktiviti dan program dilaksana dalam mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan.


0 comments:

share2