KOTA BAHARU, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mahu siasatan terperinci dilakukan berhubung kes kematian seorang pelajar kolej di Bachok, Selasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Datuk Fadzli Hassan berkata tindakan itu penting kerana masyarakat meletakkan kepercayaan yang tinggi berkaitan keselamatan anak masing-masing di tempat mereka belajar.
"Kita minta pihak asrama, pihak Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan mengambil serius tentang akhlak dan disiplin pelajar yang berada di asrama.
"Ambil tindakan tegas kepada mana-mana pelajar yang menunjukkan masalah disiplin di sekolah," kata Fadzli kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Baharu, Rabu.
Beliau berkata sebelum ini terdapat beberapa kes buli yang dilaporkan di sekolah tetapi kes yang telah mengorbankan nyawa seorang pelajar itu adalah sesuatu yang serius dan perlu segera ditangani oleh semua pihak.
"Saya berasa amat sedih dengan kejadian yang menimpa pelajar terbabit. Salam takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa," katanya.
Beliau diminta mengulas kes kematian seorang pelajar sebuah kolej di Bachok Selasa selepas dikatakan dipukul oleh seorang pelajar senior dalam asrama.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa Mohamad Nur Akram Zime, 16, dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan suspek yang berusia 17 tahun yang memukul mangsa dipercayai akibat salah faham.
Mohamad Nur Akram dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai selepas disepak sebanyak dua kali oleh pelajar senior terbabit dan disahkan meninggal pada pukul 1.30 pagi di sebuah klinik kesihatan di Bachok.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Berangan, Pasir Puteh hari yang sama.
0 comments:
Post a Comment