Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 14, 2019

PIAGAM UMNO PAS SATU TATAKELOLA KERJA KEDUA-DUA PARTI






Piagam UMNO PAS merupakan satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak daripada sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang, ujar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, ikatan yang dijalinkan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya dan jangan dibiarkan rapuh.

“Ikatan kita ini jangan rapuh mesti kita simpul elok-elok. Ikatan perpaduan kita ini mesti berasas kepada sesuatu yang boleh memegang kita bersama. Banyak orang yang tak tahu dan tahu ini bukan kali pertama PAS dan Barisan Nasional (dahulunya Perikatan) bersama-sama dalam kerajaan.



“Kita telah pun membubarkan Perikatan pada tahun 1970 dan buat Barisan Nasional dan PAS masuk bersama sebagai kerajaan pada ketika itu. Allahyarham Datuk Asri Muda dan Allahyarham Tun Abdul Razak bersama-sama berpakat kerana peristiwa 13 Mei 1969.

“Tetapi tak lama ikatan tersebut kerana apa? Kerana ia tak sampai ke akar umbi, akar umbi tak faham mengapa perlunya ada ikatan kedua-dua parti ini UMNO dan PAS perlu diadakan. Bila tidak ada pemimpin-pemimpin bersama-sama maka ikatan itu longgar dan terburai,” ujarnya.

Mohamad berkata demikian dalam ceramah perdana Himpunan Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Turut memberikan ceramah adalah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan kepimpinan UMNO serta PAS.

Oleh kerana itulah tambah Mohamad yang dikenali dengan nama Tok Mat Hasan, pengalaman lalu menjadikan UMNO dan PAS lebih matang bagi memantapkan lagi ikatan.

“Tetapi kali ini kita buat ‘road show’ setiap negeri, setiap daerah kita berbincang dan berceramah betapa perlunya ikatan ini, kita ikat elok-elok.

“Kita ikat kali ini bukan semata asas untuk menang pilihan raya sahaja tetapi kita ikat ikatan ini di atas asas ukhwah, iman, atas kita sama-sama bersyahadah. Kalau ini dapat kita buat maka simpulan ikatan ini akan tetap utuh, kuat walaupun pemimpin bersilih ganti.




“Jika ikatan penyatuan ummah ini kita simpul atas kesempurnaan ukhwah dan iman, ia akan terus dijadikan satu warisan kepada anak-anak cucu kita pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Pagi nanti, akan menjadi sejarah politik tanah air apabila majlis menandatangani piagam UMNO PAS akan disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, PWTC di sini.

Mohamad juga berkata atas kesedaran, kedua-dua parti mengambil pendirian merealisasikan agenda penyatuan ummah.

“Dua parti politik umat Islam terbesar di negara ini telahpun menyedari bahawa tidak boleh terus-menerus meletakkan diri terus bersengketa. Yang menjadi mangsa adalah anak bangsa, yang menjadi mangsa adalah agama.

“Maka atas kesedaran itulah bila jawatankuasa teknikal pihak UMNO dan PAS duduk bersama hendak menggubal piagam, sebagaimana kata Ustaz Idris Ahmad (Naib Presiden PAS) tak sampai satu jam telahpun setuju kedua-dua pihak menjadikan hasil perbincangan ini untuk ditandatangani oleh presiden,” tambahnya.


0 comments:

share2