Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 20, 2019

PH PERLU JELASKAN, HUTANG AMBIL ALIH LEBUH RAYA JANGAN SAMPAI PERLU BAIL-OUT








Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menuntut penjelasan kerajaan berhubung cadangan untuk menerbitkan hutang berjumlah RM43 bilion bagi mengambilalih 15 lebuhraya bertol seluruh negara.

Menurut beliau seperti mana tawaran RM6.2 bilion yang dibuat oleh Kementerian Kewangan kepada Gamuda Bhd dan Litrak Holdings untuk mengambil alih 4 lebuhraya sebelum ini, cadangan mengambil alih 15 lebuhraya bertol dengan jumlah tawaran RM43 bilion ini juga tidak telus dan meragukan.

“Pertama sekali, bagaimanakah Kerajaan membuat penilaian terhadap harga yang ditawarkan kepada syarikat pemegang konsesi lebuhraya tersebut. Apakah formula yang digunakan untuk Kerajaan menjustifikasikan pengambilalihan berjumlah RM43 bilion. Adakah formula penilaian ini sama dengan penilaian ke atas pemilikan ekuiti Gamuda dan Litrak sebelum ini.

“Sebelum ini banyak pakar dan penganalisis berpendapat bahawa tawaran kepada Gamuda dan Litrak merupakan tawaran yang tidak menguntungkan Kerajaan atas beberapa sebab seperti aliran trafik yang semakin berkurang di atas 4 lebuhraya tersebut dan risiko bebanan hutang ke atas Kerajaan,” katanya menerusi catatan di facebooknya, di sini hari ini.

Tegas beliau lagi keduanya pula, adakah Kerajaan akan terus mengutip tol ataupun caj kesesakan selepas pengambilalihan lebuhraya berkenaan dan jika ya sampai bilakah Kerajaan akan mengutip tol sehingga tamat tempoh konsesi.

“Ini kerana contohnya konsesi Lebuhraya PLUS hanya akan tamat pada tahun 2038. Adakah pengguna lebuhraya PLUS akan terus membayar tol untuk tempoh 19 tahun lagi walaupun Kerajaan sudah mengambilalih lebuhraya tersebut.

“Ketiga, menurut laporan media, kertas hutang atau sukuk tanpa tempoh matang bernilai RM43 bilion yang akan diterbitkan boleh ditebus bila-bila oleh Khazanah di masa hadapan selepas semua tol dihapuskan.

“Bagaimanakah Kerajaan akan membayar kos penyelengaraan semua lebuhraya selepas semua tol dihapuskan? Adakah ini bermaksud semua pembayar cukai terpaksa membayar kos penyelengaraan lebuhraya walaupun mereka tidak menggunakannya,” tambahnya.

Tambahnya lagi RM43 bilion bukanlah sesuatu jumlah yang kecil dan ianya hampir bersamaan dengan jumlah perbelanjaan pembangunan Kerajaan setiap tahun.

Cuma kata beliau bezanya RM43 bilion ini menguntungkan syarikat-syarikat konsesi dan bukannya rakyat terbanyak.

“Jaminan yang diberikan Kerajaan ke atas kertas hutang yang akan diterbitkan juga merupakan ‘bail-out’ yang merupakan liabiliti luar jangka yang perlu ditanggung Kerajaan sekiranya pendapatan yang dijana melalui kutipan tol atau caj kesesakan tidak cukup untuk menampung kadar keuntungan sukuk tersebut.

“Akhirnya wang kutipan cukai daripada rakyat Malaysia perlu digunakan untuk menanggung kos pengambilalihan lebuhraya bernilai RM43 bilion ini.

“Saya menggesa kerajaan supaya lebih telus dalam hal yang melibatkan kepentingan rakyat, apatah lagi yang melibatkan puluhan bilion Ringgit dana awam,” ujarnya.

Ujarnya lagi rakyat sebagai pemegang taruh terbesar berhak untuk mengetahui dan menilai sama ada cadangan Kerajaan ini memberi manfaat kepada mereka atau sebaliknya.


0 comments:

share2