Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 18, 2019

PAHANG BAKAL TERIMA PERUNTUKAN RM2.41 BILION







Kerajaan Persekutuan meluluskan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM2.41 bilion untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini di bawah Rolling Plan 4 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020.

Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan itu dinyatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pada Sesi Libat Urus Penyediaan RMK12 (2021-2025) dengan kerajaan negeri di sini 16 Ogos lalu.

Menurut kenyataan tersebut, daripada peruntukan diluluskan itu, RM800 juta bagi projek pembinaan Central Spine Road (CSR) Pakej 6 melibatkan jajaran bandar Bentong ke Simpang Pelangai.

Projek lebuh raya empat lorong bebas tol sejauh 325 kilometer (KM) itu bagi menghubungkan Kuala Krai melalui Gua Musang (Kelantan), Kuala Lipis, Raub dan berakhir Simpang Pelangai, Bentong (Pahang).

“Selain itu, RM446 juta diperuntukkan bagi pembinaan dan penyiapan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu Fasa 3 yang berkapasiti 146 juta liter sehari.

“Projek ini sepertimana yang turut diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini," menurut kenyataan itu.

Dimaklumkan, kira-kira RM380 juta diperuntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf laluan dari persimpangan bertingkat Jalan Pintasan Gebeng-Sungai Ular, Kuantan hingga sempadan Pahang/Terengganu dekat Chendor di sini.

“Sebanyak RM231.12 juta bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan, Indera Mahkota, RM200 juta bagi pembinaan Hospital Maran dan RM173 juta untuk pembinaan dan penyiapan tangki imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari di Kawasan Perindustrian Gebeng," katanya.

Projek-projek lain yang termasuk dalam peruntukan tersebut antaranya pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kampung Cherating, dengan peruntukan RM25.24 juta.

“Projek mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah Raub (RM18 juta) untuk pembinaan Kuantan Urban Recharge serta kerja-kerja berkaitan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini (RM10 juta) dan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Raub (RM6.98 juta).

Dalam peruntukan itu juga, RM3.75 juta bagi pembinaan pasar basah Peramu serta kerja-kerja berkaitan di kawasan perumahan Peramu, di sini.

Sebanyak RM3 juta bagi pembinaan Kompleks Jualan dan Restoran Makanan Laut serta kerja-kerja berkaitan di muara Sungai Kuantan, Tanjung Lumpur, pembinaan Medan Selera serta kerja-kerja berkaitan di jalan utama Kuantan-Kemaman berhampiran Pantai Batu Hitam, di sini (RM2.5 juta), projek naik taraf Pasar besar Kuantan (2.5 juta).

Turut termasuk dalam senarai pembinaan trek joging dan kemudahan awam serta kerja-kerja berkaitan di Taman Tasik Gambang (1.8 juta), kajian untuk menaiktaraf atau pembinaan pintasan jalan di Cameron Highlands (RM1.5 juta), kerja-kerja menaiktaraf gerai sedia ada serta kerja-kerja berkaitan di Astaka Beserah di sini (RM1.2 juta).


0 comments:

share2