Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 19, 2019

[KUANTAN] PANTAU KILANG CEMAR ALAM SEKITAR: EXCO KERAJAAN NEGERI






Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya akan membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap kilang yang berpotensi mencemarkan alam sekitar di Pahang secara berkala.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemantauan berkenaan akan dilaksanakan oleh unit penguatkuasaan jawatankuasa itu.

Menurutnya, penggunaan sistem pemantauan pelepasan berterusan (CEMS) dan pemantauan melalui penghasilan buangan menerusi sistem notifikasi (E-SWISS) dijangka mampu membantu mengawal pencemaran.

“Selain itu keperluan orang yang berwibawa untuk menguruskan alat kawalan pencemaran juga penting dalam pelaporan pengawasan dan pemantauan alam sekitar.

"Kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti meliputi kawasan perindustrian terutama perindustrian berat dan sederhana," katanya pada pada sidang DUN hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam memastikan kes pencemaran industri tidak berlaku di negeri ini.

Young Syefura juga menyoal tentang sama ada kawasan-kawasan yang berisiko tinggi telah dikenal pasti dan diselia dengan baik.

Mohd Sharkar menjelaskan kerajaan sudah lama mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya pada Mei lalu selepas isu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, penubuhan jawatankuasa ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku sebarang perkara yang melibatkan soal pembuangan sisa berbahaya khususnya dalam industri perkilangan.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan kerana hendak memastikan bahawa kita tahu di mana punca kuasa untuk kita mengambil tindakan," katanya.


0 comments:

share2