Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 18, 2019

APA JADI PRINSIP 'RULE OF LAW' DI BAWAH PH... AMALAN PENUH HIPOKRIT






Pengamal Undang-Undang, Adnan Seman melihat ‘Rule of Law’ di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menimbulkan pelbagai persoalan malah secara langsung turut mewujudkan pelbagai persepsi di kalangan rakyat bahawa mereka ini jauh lebih hipokrit.

Ini kerana katanya sebelum ini merekalah yang sering melaung-laungkan prinsip ‘Rule of Law’ namun keadaan itu tidak sepertimana yang dilaungkan apabila mereka berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Ini yang sedang berlaku dan kalau kita nak berbicara soal ‘Rule of Law’ masa kini saya boleh katakan kerajaan PH tidak melaksanakan ‘Rule of Law’ dan rata-rata kita tanya rakyat di luar… mereka sememangnya tidak ada kepercayaan bahawa ‘Rule of Law’ itu dilaksanakan sepenuhnya di bawah kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Ilmu yang bertajuk ‘Rule of Law: Bagaimana Amalannya Sekarang’ yang turut disertai ahli panel lain seperti Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim serta Pensyarah Undang-Undnag, Dr Shamsher Singh Thind.

Program berkenaan anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO dan disiarkan secara live menerusi Facebook umno-online, malam tadi.

Adnan seterusnya melontarkan hujah dan contoh klasik bagaimana seorang Ahli Parlimen Dap yang mengatakan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) perlu membaca manifesto PH berhubung kes Wan Ji.


“Baru-baru ini apabila kes Wan Ji, DPP buat rayuan… daripada sembilan bulan ada rayuan kemudiannya kena satu tahun maka keluar kenyataan DPP pendakwaraya perlu membaca manifesto PH. Ini satu contoh yang cukup klasik yang paling terbaru bila ada campurtangan daripada satu cabang kepada cabang yang lain.

“Manifesto PH adalah manifesto. Saya pernah dengar manifesto ini bukan satu peraturan… bukan satu benda yang mengikat dan apabila ada orang yang pertikaikan kenapa ada perkara-perkara yang ada dalam manifesto tidak dilaksanakan, ianya bukan undang-undang, ianya satu perkara yang dinyatakan dalam kempen pilihan raya,” tambahnya.

Tambahnya lagi, apabila berbicara soal ‘Rule of Law ini’, ianya satu perkara yang melibatkan integriti, perkara yang berkait soal kepercayaan rakyat kepada sistem perundangan negara sejauh mana undang-undang itu dilaksanakan.

“Mungkin kalau kita buat perbandingan zaman BN, orang boleh kata ‘oh… zaman dulu pun ada perkara-perkara yang tidak melaksanakan Rule of Law’. Kuasa mendakwa terletak kepada Peguam Negara. Sebab itulah Peguam Negara perlulah seorang yang bebas, seorang yang tidak dilantik atas lantikan politik dan tidak terkait dengan mana-mana parti politik supaya Peguam Negara ini apabila mengambil keputusan untuk mendakwa atau untuk tidak mendakwa keputusan itu boleh diterima oleh rakyat sebagai ‘Rule of Law’.

“Banyak kes-kes ahli politik daripada kerajaan PH digugurkan. Apa jadi kepada kes pegawai khas kepada Timbalan Menteri, Aziz Jamman yang merakam video perempuan bawah skirt, apa jadi kepada kes yang melibatkan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, RM800 ribu hutang dengan Jabatan Insolvensi dibayar oleh pihak ketiga untuk diselesaikan bagi membolehkan beliau angkat sumpah, apa jadi kepada kes YB Zulpuri ketika PRK Cameron Highlands yang menyalahgunakan kenderaan kerajaan, aset kerajaan jabatan hutan yang ditutup dengan bendera parti dan sebagainya lagi.”

Tegasnya lagi hari ini satu demi satu kes-kes yang berada di depan mata rakyat menunjukkan tidak ada ‘Rule of Law’ dan itu bukanlah yang direka sebaliknya mempunyai justifikasi serta fakta yang menyokong perkara berkenaan.

Beliau seterusnya menyatakan keadaan semakin teruk hari ini apabila mereka yang masih memegang jawatan di dalam parti politik dilantik dalam agensi kerajaan.

“BN tidak pernah melantik Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebagai Pesuruhjaya SPRM… tidak pernah. Apabila kita lantik MT UMNO sebagai Pesuruhjaya SPRM bagaimana beliau hendak jadi bebas, bagaimana nak bersifat bebas, tidak ada pengaruh politik sedangkan SPRM merupakan badan bebas. Ini persepsi rakyat,” ujarnya lagi.


0 comments:

share2