Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Haji Mohamad melihat penyatuan ummah antara parti itu dan PAS bukanlah sama sekali mengenepikan mana-mana bangsa dan agama lain di negara ini malah ianya akan mendatangkan manfaat yang cukup besar kepada seluruh rakyat dan negara itu sendiri.
Berucap pada Ceramah Perdana Penyatuan Ummah Negeri Johor di sini, Rabu malam beliau menegaskan ianya juga sama sekali tidak menggugat perjanjian yang telah dipersetujui dahulu malah turut bernaung di bawah Perlembagaan negara sebagai jaminan.
“Bercakap soal penyatuan ummah ini, jika kita berbincang dan berbual dengan mana-mana peringkat mana sekalipun…percayalah bahawa harapan ahli UMNO di bawah…begitu juga masyarakat luar sana kalau kita himpunkan semuanya menyatakan dan meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada usaha yang kita lakukan ini.
“Mereka ingin lihat penyatuan ummah ini dapat diterjemahkan dan secara peribadi saya berdoa penyatuan ummah ini berjaya. Tentunya kita akan lebih rasa kekok…baik ahli UMNO mahu pun ahli PAS…kita perlu lagi masa supaya kita benar-benar dapat hayati dan akhirnya dapat menjiwai penyatuan ummah sebagai satu prasyarat penting kalau ingin lihat negara kita terus maju, aman dan makmur.
“Kita harap penyatuan ini bukan hanya menjurus kepada pilihan raya umum (PRU) semata-mata sebaliknya di sinilah kita dapat menikmati kemanisan faedah manfaatnya apabila kita bersatu dan sama-sama membulatkan tekad untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor Ustaz Abdullah Husin dalam ucapannya turut melontarkan pantun bagi menggambarkan usaha dan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.
Kajang pak malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu,
Kerjasama kita amat tepat,
Jangan ada yang ragu-ragu.
Menyambung ucapannya, beliau membidas sikap dan pandangan pihak tertentu yang menggelarkan kerjasama tersebut dengan pelbagai gelaran dan pada masa yang sama beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin kedua-dua parti baik PAS mahupun UMNO yang terus istiqamah dalam perjuangan dan tidak melompat parti.
“Alhamdulillah kita teruskan perjuangan. ..kesatuan PAS dan UMNO yang dianggap memerangi bukan Islam dan begitu juga tanggapan Israel cukup pelik padahal perkara biasa blok pembangkang bergabung tetapi macam-macam tanggapan….termasuklah seperti Taliban…
“Kelantan PAS memerintah 30 tahun adakah PAS memusnahkan patung berhala…mengganggu kaum lain berniaga…malah di Kelantan ada patung Buddha yang besar..maknanya apa…tidak diganggu-gugat. Inilah yang kita lihat berlaku di depan mata kita,” ujarnya.
Ujarnya lagi penghijrahan pemimpin kedua-dua parti berkenaan yang melompat ke parti lain merupakan satu pembersihan di dalam parti.
“Sebab itulah malam ini saya mahu menyatakan penghargaan kepada mereka yang istiqamah baik dalam PAS mahupun UMNO yang tidak melompat ke parti yang lain. Insya-Allah kita teruskan dan kita sama-sama beristiqamah dan konsisten dalam perjuangan’ tambahnya.
Pada akhir ucapannya beliau turut menyanyikan lagu yang liriknya direka khas kepada para pejuang dan mereka yang kekal istiqamah di dalam memperjuangkan parti.
0 comments:
Post a Comment