Seorang pemandu lori rugi RM3,400 selepas terpedaya dengan ‘kebaikan’ kenalan wanitanya yang baru dikenali penghujung April lalu.
Mangsa berusia 50 tahun yang kesepian teruja apabila wanita tersebut berjanji untuk menanggung segala perbelanjaan semasa di Hong Kong selepas menyatakan hasrat untuk melancong ke sana.
Wanita itu juga turut mengirimkan hadiah berharga berupa pakaian, jam tangan, kasut dan telefon bimbit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, segala yang ditawarkan wanita itu sebenarnya tidak wujud sebaliknya ia taktik sindiket penipuan untuk memerangkap mangsa menggunakan modus operandi penipuan kiriman hadiah atau parcel tidak wujud.
Menurutnya dalam kes itu, mangsa dihubungi wanita tersebut 28 April lalu dipercayai secara rawak kononnya ingin berkenalan dan mangsa menerima peluang itu kerana dia kesepian tanpa teman wanita.
“Rentetan daripada perkenalan itu, mangsa termakan janji manis kenalannya itu hingga sanggup mengeluarkan wang RM3,400 semata-mata untuk menuntut hadiah lumayan yang dikirimkan.
“Mangsa agak bernasib baik apabila cepat sedar dan tidak terus tertipu selepas curiga dengan bayaran tambahan RM6,500 yang diminta sebelum menuntut hadiah tersebut,” katanya.
Mohd Wazir berkata, menyedari dia ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut dan pihaknya membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang guru wanita berusia 33 tahun turut menerima nasib sama apabila tertipu dengan kenalan dari Scotland yang kononnya ada mengirimkan hadiah berharga sebagai tanda perkenalan.
Mangsa yang mengenali lelaki itu melalui laman sosial Instagram 24 April lalu dan sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa dimaklumkan oleh kenalannya bahawa satu bungkusan hadiah telah dihantar ke alamat sekolahnya bagaimanapun dia diminta menjelaskan cukai untuk kiriman tersebut.
“Pada 5 Mei lalu, mangsa membuat bayaran RM2,950 melalui akaun atas nama seorang individu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mula curiga apabila diminta membayar caj lewat dan tidak mengendahkan arahan tersebut sebaliknya tampil membuat laporan polis kerana syak telah ditipu.
0 comments:
Post a Comment