Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 20, 2019

[KUANTAN] HORMAT DAN TAAT SETIA PADA RAJA SYARAT KELULUSAN PERMIT DAN LESEN PERNIAGAAN



DUN Pahang | Kesetiaan kepada institusi DiRaja diwajibkan bagi kelulusan permit dan lesen perniagaan



Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk menambah syarat pada kelulusan permit dan lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan dan semua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Pahang. Penambahan syarat yang ditetapkan adalah setiap peniaga diwajibkan untuk menunjuk hormat dan taat setia kepada KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.

YAB Menteri Besar Pahang menjelaskan perkara ini ketika sesi pergulungan sidang DUN Pahang pagi ini. Jelas beliau lagi, beberapa ahli DUN telah membangkitkan tentang tindakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang telah menghina kedudukan institusi Raja di Negeri ini.

Oleh itu, kerajaan Negeri amat memahami akan hal ini dan telah meluluskan penambahan syarat ini pada Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar pada 3 April yang lepas.

“Dengan pelanggaran kepada keputusan ini, maka permit dan lesen perniagaan berkenaan akan ditarik balik” jelas beliau.

Beliau berharap, dengan syarat yang tegas ini, dapat menjadi langkah “preventive” yang berkesan bagi menangani dan mengatasi gejala ini.

Perkara ini selari dengan Titah Diraja yang disampaikan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang pada sesi Istiadat Pembukaan DUN Pahang pada isnin yang lepas.

Baginda menitahkan agar tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa harus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati membuat Penghinaan terhadap institusi DiRaja.


0 comments:

share2