Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 12, 2019

KERJASAMA UMNO-PAS... DITUDUH TALIBAN? DISKRIMINASI KAUM PUN JAUH SAMA SEKALI







Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan kenyataan beberapa pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama antara UMNO dan Pas sebenarnya menyerlahkan kegusaran mereka untuk menghadapi kedua-dua parti berkenaan.

Menurut beliau kenyataan-kenyataan sinis termasuklah soal Taliban, Afghanistan yang dikaitkan dengan kerjasama tersebut malah dianggap menggugat pihak-pihak lain jelas merupakan kenyataan yang menafikan sejarah kewujudan negara ini sendiri.

”Sepertimana yang ditegaskan oleh pucuk pimpinan…kerjasama antara kedua-dua parti sama sekali tidak akan meminggirkan mana-mana kaum malah mana-mana agama lain di negara ini. Yang jelas ianya adalah untuk kepentingan rakyat…untuk kepentingan negara.

“Kenapakah mereka terdesak sangat sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak cermat. Sejarah sebelum ini telah membuktikan yang mana menerusi Barisan Nasional (BN) keharmonian negara dapat dikekalkan dengan baik.

“Malah rasanya peralihan kuasa daripada BN kepada PH berlaku dalam suasana yang cukup baik dan tanpa kekacauan. Siapa yang berjanji dengan rakyat dan siapa pula yang menyalahkan BN apabila gagal menyelesaikan banyak perkara khususnya apa yang dijanjikan sebelum ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut pandangan dan tanggapan sinis pelbagai pihak berkenaan kerjasama berkenaan, beliau seterusnya mempersoalkan apakah ada mana-mana kaum ditindas dan adakah ada mana-mana agama di negara ini terpingggir sewaktu BN menerajui negara.

Jelasnya lagi begitu juga pemerintahan Pas di Kelantan, di Terengganu pada satu ketika dan kini serta begitu juga di Kedah apakah ada perkara-perkara yang menimbulkan ketegangan kaum dan sebagainya.

“Tambahan pula hari ini dengan adanya MCA serta MIC di dalam BN malah di dalam Pas itu sendiri yang mempunyai Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), apakah logik kenyataan-kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh PH.

“Jadi kepada mereka…berpijaklah di bumi nyata. UMNO menerusi BN sebelum ini telah berjaya membuktikan bahawa kita menerusi rakan-rakan komponen lain berada pada landasan seadil-adilnya dan begitu jugalah rakan kita Pas,” tambahnya.


0 comments:

share2