Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 15, 2019

SULTAN ABDULLAH SULTAN AHMAD SHAH DIMASYURKAN SEBAGAI SULTAN PAHANG VI




Pekan, 15.1.2019 :  Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.


Pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar diumumkan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisyitiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).


“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Jan 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak telah bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuatkuasa 11 Jan 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.


“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.


Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.


Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakkan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Jan lepas, akan diadakan pada 24 Jan ini di Istana Negara.


Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.


Pada istiadat pemasyhuran itu, selesai membaca Pengisyitiharan Pelantikan Raja, Tengku Abdul Rahman mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah.Sultan Pahang ke-VI Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah


Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah, 59, yang sejurus itu menyempurnakan ikrar berkenaan.


Sultan Abdullah, yang berbaju Melayu tenun Pahang berwarna kuning diraja, kemudiannya melafazkan sumpah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang dan dan segala jajahan takluknya.


“Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan negeri Pahang yang telah dan yang akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa,” titah baginda.


Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negeri Pahang.


Usai Sultan Abdullah menyempurnakan Titah Ikrar, ungkapan takbir 'Allahuakhbar' dilaungkan tiga kali diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.


Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.


Sebelum dilantik menjadi raja pemerintah negeri ini, Sultan Abdullah pernah dua kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kali kedua pada 28 Dis 2016 semasa kesihatan Sultan Ahmad Shah mula merosot.


Istiadat pemasyhuran diadakan tepat 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah dengan diiringi Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Baginda berdua berangkat dari Istana Mahligai Mahkota yang terletak kira-kira satu kilometer dari Istana Abu Bakar dengan menaiki kereta Bentley berwarna hitam.

SUMBER


0 comments:

share2