Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 6, 2018

MENTERI IBARAT "BAGAI JELONGAK KERBAU RAMPUNG"






Dalam perbualan di sebuah kedai kopi seorang sahabat bertanya saya mengapa kebanyakan kenyataan kurang cerdik, tidak matang dan melucukan datang daripada menteri Melayu terutama dari Bersatu dan Amanah.

Beliau memberi beberapa contoh yang sangat menarik seperti Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (Bersatu), Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bersatu), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Dr Mujahid Yussuf (Amanah), Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (Amanah), Menteri Pertanian, Sallehuddin Ayub (Amanah).

Sebelum ini beliau juga menyarankan lelaki transgender menggunakan tandas wanita sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat.

Dr Maszlee tidak terkecuali menjadi perbualan apabila membuat pelbagai kenyataan “luar biasa” seperti certot, hendak adakan mesyuarat menentukan warna stoking murid dan terbaharu pendidikan di negara ini hampir percuma.

Syed Saddiq turut tidak terkecuali merebut tempat dalam membuat lawak jenaka yang menimbulkan kemarahan rakyat. Selain mempunyai keberanian melanggar norma masyarakat Melayu dengan memuat naik gambar beliau mandi dalam ‘bathtub’, beliau turut menyatakan politik berasaskan masyarakat Melayu (Bumiputera) sudah berakhir.

Ini menimbulkan pertanyaan mengapa beliau masih dalam parti Bersatu yang secara terang dan jelas keahlian hanya dalam kalangan kaum peribumi.

Walaupun hujah-hujah sahabat ini sangat kuat, saya terpaksa membetulkan salah tanggapan beliau. Hakikatnya bukan menteri Melayu sahaja yang jahil dan kurang ilmu tetapi juga menteri daripada kaum lain turut dalam lingkungan yang sama.

Minggu lalu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Darrell Leiking (Warisan) tidak mahu melepaskan kesempatan untuk berada dalam senarai menteri yang membuat “kenyataan luar akal”.

Menurut Darell kedudukan Malaysia di tangga ke-15 dalam senarai “Easy Doing Business 2019” oleh Bank Dunia adalah hasil usaha Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan beliau sendiri dalam membuat pelbagai polisi dan perubahan mesra ahli perniagaan.

Memalukan sekali kenyataan ini dibuat tanpa menyemak fakta bahawa senarai ini berdasarkan kajian Bank Dunia sehingga 1 Mei 2018; iaitu 9 hari sebelum mereka mengambil alih pentadbiran negara.

Tidak cukup dengan itu, Facebook menteri terbabit turut mendakwa ini merupakan jalan ke arah kembali menjadi “Harimau Ekonomi Asia”. Hakikatnya Malaysia tidak pernah menjadi Harimau Ekonomi Asia.

Kedudukan Malaysia dalam senarai “Easy Doing Business” tiada kena-mengena dengan pertumbuhan ekonomi mahu pun kekuatan ekonomi. Ia hanya memberi gambaran kepada pelabur asing mengenai birokrasi sesebuah negara dalam bidang perniagaan.

Bersaing dengan Darell ialah Menteri Industri Utama, Teresa Kok. Beliau dikritik hebat apabila menyatakan 1 ekar ladang kelapa sawit boleh menghasilkan 12-15 tan sawit sebulan.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) tidak melepaskan peluang menyindir untuk belajar dengan Teresa Kok bagaimana untuk menjadikan ladang sawit sehebat itu.

Keesokannya, selepas dikritik hebat oleh Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), Teresa menyatakan beliau tersalah sebut ekar yang sepatutnya hektar.

Malangnya pembetulan ini juga tidak menyelesaikan masalah apabila Wee Ka Siong bangun mempertikaikan sekali lagi. Menurut Wee 1 hektar sama dengan 2.47 ekar jadi katakan 12 hingga 15 tan, maksudnya purata kena sama dengan 5 tan atau 6 tan untuk 1 ekar.

Selain Teresa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula bercadang untuk memansuhkan perkhidmatan bas perantara MRT digantikan dengan perkhidmatan Grab.

Beliau dikritik hebat kerana penggantian bas perantara kepada Grab bukan sahaja menyebabkan peningkatan kos pengangkutan rakyat tetapi juga tidak praktikal. Ia menyebabkan kesesakan lalu-lintas yang lebih teruk kerana grab hanya membawa penumpang yang sangat terhad berbanding bas perantara.

Sudah tentu menteri yang berada tempat teratas dalam senarai “Kenyataan Luar Akal” ini ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Hampir setiap minggu Guan Eng tidak pernah gagal menghiburkan kita dengan kenyataan yang “mislead”, melucukan dan salah fakta. Senarai ini sangat panjang dari data mengenai hutang negara, pertumbuhan ekonomi, penjualan tanah di Pulau Pinang sehinggalah kepada titik perpuluhan dalam kewangan negara.

Anda hanya perlu baca Facebook Najib Razak untuk mengetahui nilai sebenar kenyataan-kenyataan bombastik Lim Guan Eng. Justeru, adalah tidak benar hanya menteri Melayu yang jahil dan menjadi pelawak dalam kerajaan hari ini.

Kebanyakan menteri hari ini baik Melayu, Cina mahu pun India sudah seperti peribahasa “bagai jelongak kerbau rampung” (orang bodoh yang sombong, tiada sedar dirinya dibodohi orang).

Ab Jalil Becker

Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)


0 comments:

share2