Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 6, 2018

BAJET 2019 INISIATIF KEPADA AGENDA DAP, TIDAK SASAR GOLONGAN LUAR BANDAR




Bajet 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Jumaat lalu ialah terjemahan kepada agenda Dap kerana ia tidak mengambil kira golongan sasaran di luar bandar, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, biarpun bajet tersebut mempunyai kumpulan sasaran isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) tetapi tidak mensasarkan kepada mereka di luar bandar.

“Kita menganggap bahawa bajet yang telah dibentangkan adalah merupakan terjemahan kepada agenda bajet Dap kerana walaupun ianya mempunyai kumpulan sasaran di bawah B40 atau M40 tapi tidak mensasarkan kepada kumpulan di luar bandar.




“Ia banyak menumpukan kepada di pinggir bandar atau di dalam bandar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Presiden bersama kepimpinan UMNO di Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Pembangkang akan mengambil inisiatif dalam perbahasan Isnin nanti untuk memberi kesedaran kepada rakyat.

“Jadi apa yang akan dibentangkan oleh UMNO dan Gagasan Pembangkang menuju ke arah untuk menyedarkan kepada rakyat keseluruhannya bahawa tidak semua kumpulan rakyat difokuskan dalam bajet 2019.

“Dengan itu kita merasakan bahawa agenda nasional yang diwar-warkan dalam aku janji manifesto PH untuk 100 hari pertama tidak diterjemahkan dan tidak diperakukan pun dalam belanjawan sedemikian.

“Oleh sebab itu kita melihat bahawa ini adalah bajet Dap yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan. Saya harap ahli-ahli Parlimen dalam PH juga sedar kerana mereka mewakili pelbagai parti tetapi agenda Dap diutamakan.

Beliau yang juga Pengerusi BN memaklumkan ahli-ahli BN telah memutuskan bahawa yang akan mewakili pembangkang di dalam pembentangan Bajet 2019 adalah Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin.

“Sebagaimana yang saya nyatakan Ketua Pembangkan akan diberikan peluang untuk membentangkan belanjawan. Ini adalah kelaziman dalam tatacara di Dewan Rakyat yang mana ketua pembangkang akan diberi peluang sebagai pembahas pertama di dalam membahaskan belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

“Maka ahli-ahli BN akan telah memutuskan bahawa yang akan mewakili pembangkang di dalam pembentangan ini adalah Ahli Parlimen Rembau kerana sejak awal lagi beliau telah diberikan untuk mengetuai kluster kewangan dan ekonomi.

“Semua ahli-ahli BN bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang telah diberikan input kepada penyediaan inisiatif ekonomi rakyat ini malah Ketua WIP iaitu Datuk Seri Ismail Sabri sendiri akan terus mengkombinasikan bahawa tiap-tiap ahli Parlimen BN akan membawa isu-isu yang telah ditentukan namun mereka juga diberi peluang untuk menyentuh perkara-perkara yang lain,” katanya lagi.

Turut serta bersama beliau ialah Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib-Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Madhzir Khalid.


0 comments:

share2