Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 13, 2018

KERAJAAN TIDAK PERLU LAYAN TUNTUTAN LGBT, JANGAN UNDANG KEMARAHAN UMAT ISLAM





Pihak kerajaan tidak sepatutnya melayani tuntutan-tuntutan untuk mengiktiraf golongan LGBT dengan desakan untuk menghapuskan Seksyen 377A di bawah Akta 574 kerana ia akan menyebabkan timbulnya keresahan, bahkan akan muncul kemarahan lebih mendalam yang akan merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini, demikian tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Justeru itu, beliau berkata tuntutan-tuntutan seperti ini tidak wajar dilayan di mana kini sudah ada gerakan yang cukup terancang yang datang daripada luar negara, cuba untuk membawa mesej-mesej yang mengelirukan kepada rakyat dalam usaha mereka untuk merealisasikan pengiktirafan ini.

“Sebab itu, gerakan-gerakan terancang seperti ini bukan mudah untuk ditangani melainkan dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak kerajaan, disokong oleh pihak-pihak NGO dan masyarakat umum untuk ditangani.

“Saya melihat, sekiranya hal-hal seperti ini tidak dipedulikan perkembangan, ia akan menyebabkan timbulnya kemarahan masyarakat yang boleh menjadi petaka kepada negara ini.

“Jika inilah yang menjadi titik perjuangan segelintir pihak untuk mengiktiraf LGBT ini dengan erti kata kebebasan sepertimana di Barat, maka kelak akan bangkit masyarakat majoriti yang akan memperlihatkan kemarahan dan penentangan mereka terhadap perkara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam program diskusi U3.0 bersama Datuk Dr. Azizan sebagai moderator yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online yang membawa tajuk ‘LGBT’ Rabu malam.

Jamil Khir seterusnya menasihati umat Islam agar jangan terperangkap di antara perjuangan hak asasi yang menuntut hak-hak LGBT dan di dalam pada masa yang sama, umat Islam itu sendiri kehilangan panduan dalam konteks syarak.

“Adalah terlalu naif sekiranya untuk kita menafsirkan konsep Malaysia Baru di mana kita menafsirkan kebebasan itu dalam konteks kebebasan untuk melakukan apa saja yang menyebabkan kita akan tergelincir daripada landasan dan juga hilang pedoman di dalam kehidupan.

“Dalam konteks negara kita Malaysia, kita telah meletakkan hak-hak masing-masing untuk bekerja, untuk bergaul dan sebagainya. Cuma ada segelintir perbincangan yang remeh atau agak sulit yang tidak perlu diangkat secara terbuka”, ujarnya.

Isu LGBT ini jelasnya bukan tidak ada perbincangan, sudah ada tetapi ianya dijalankan dalam keadaan harmoni dan tertutup dan bukannya secara terbuka di kalangan masyarakat di negara ini.

Tambahnya, ketika beliau menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam, sememangnya telah wujud usaha dakwah untuk mendekati golongan LGBT beragama Islam bertujuan untuk membimbing dan memberi kaunseling agar mereka mampu untuk kembali ke pangkal jalan.

“Dulu, agensi agama seperti JAKIM mempunyai satu cabang khas yang cuba menyelami kehidupan LGBT ini sehingga ada petugas yang dihantar belajar mengambil PHd di dalam perkara ini. Ini supaya kita mempunyai lebih mekanisme yang tersusun untuk membantu golongan seperti ini.

“Kita juga bekerjasama dengan NGO-NGO yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaunseling untuk kita sama-sama membantu mengatasi isu ini, tetapi ianya dilakukan secara tertutup kerana kita mahu menjaga maruah kelompok-kelompok seperti ini, maruah keluarga serta fitnah di mata masyarakat,” jelasnya.

Bagaimanapun apabila kerajaan melalui Menteri Agamanya mengangkat isu LGBT ini secara terbuka kepada pengetahuan rakyat secara umum, ia telah menimbulkan gelombang yang amat negatif kerana masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam belum bersedia untuk menerima perkara seperti diiktiraf secara terbuka, kata Jamil.

“Akhirnya perbincangan itu tidak selesai kerana ia mula menarik perhatian rakyat serta membuka ruang untuk rakyat memberikan komen serta kritikan yang pelbagai di dalam media sosial. Sedangkan golongan LGBT ini, kita perlu menarik mereka untuk kembali ke pangkal jalan di mana ada ruang dakwah yang cukup baik jika kita bijak menggunakan ruang tersebut,” tegasnya.


0 comments:

share2