Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 16, 2018

KERAJAAN PAHANG PRIHATIN ISU PERUMAHAN



WAN ROSDY



Menyedari isu perumahan merupakan isu rakyat, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri kini komited membantu rakyat memiliki kediaman selesa.

Menurutnya, walaupun pembinaan rumah prima di negeri ini sudah melebihi sasaran, kerajaan negeri akan meneruskan usaha menyediakan rumah kepada golongan berpendapatan rendah melalui perlaksanaan Rumah Makmur.

"Kerajaan negeri menyasarkan membina kira-kira 10,000 unit Rumah Makmur untuk golongan yang pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.

"Kita ada dasar, bagi pemaju yang melaksanakan projek perumahan atas tanah seluas 2 hektar, 30 peratus daripada keluasan itu perlu dibina rumah kos rendah.

"Disebabkan kekangan kewangan bagi menyediakan kemudahan ini, kerajaan negeri bercadang menubuhkan tabung perumahan bagi tujuan ini," katanya.

Wan Rosdy berkata, disebabkan ada pemaju tidak dapat melaksanakan dasar 30 peratus untuk rumah kos rendah, jadi kita cadangkan nilai pembinaan itu disalurkan kepada tabung ini.

"Bila kita ada dana mencukupi, kerajaan negeri akan mencari tapak sesuai dan keluarkan tender untuk bina rumah ini.

"Secara dasarnya kita sudah bersetuju dengan cadangan ini namun belum diluluskan untuk dilaksanakan," katanya.

Prihatin nasib penjawat awam

Wan Rosdy berkata, biarpun dalam keadaan prestasi kewangan negeri kurang baik, nasib 47 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang bakal diberhentikan mendapat pembelaan apabila kerajaan negeri tampil membantu.

“Kertas kerja bagi langkah itu akan disediakan untuk dibincangkan dalam mesyuarat exco supaya nasib mereka ini terbela.

“Setakat ini belum dimuktamadkan mereka ini akan diserap ke agensi mana,” katanya.

Ambil tahu masalah rakyat

Sebagai Menteri Besar dan juga Pengerusi Umno negeri, Wan Rosdy akui banyak cabaran yang beliau terpaksa lalui namun semuanya dapat dihadapi dengan baik.

“Sebagai Pengerusi Umno negeri, cabaran saya untuk pertahankan negeri ini kekal di bawah BN.

“Paling penting kena turun padang mendekati rakyat untuk mendengar sendiri masalah mereka sebab itu saya mengambil keputusan mengadakan mesyuarat Exco di daerah-daerah.

“Sekurang-kurang dengan langkah ini memberi peluang kepada saya jumpa rakyat, dengar masalah mereka dan cuba menyelesaikan dengan segera. Walaupun tidak semua, sekurang-kurangnya ada juga yang dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau juga menggunakan saluran media sosial untuk berhubung dengan rakyat termasuk Facebook rasminya dan Facebook aduan rakyat yang diwujudkan untuk masyarakat menyampaikan aduan.

"Setiap aduan akan jawab sebaik mungkin dengan merujuk kepada jabatan berkaitan..respon cukup baik dan ada dapat diselesaikan.

"Mana yang tak selesai disebabkan ia di luar kemampuan kerajaan negeri seperti memohon jalan kita panjangkan kepada Kerajaan Pusat untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam masa yang sama Wan Rosdy berkata, dia berpuas hati dengan perjalanan Sidang Dun pertama baru-baru ini apabila ahli dewan berhemah, hujah dan soalan pembangkang dengan fakta dan menampakkan kematangan mereka.


0 comments:

share2