Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 8, 2018

KERAJAAN PH 'PEMBOHONG BESAR', REKA CERITA UNTUK SEDAPKAN HATI RAKYAT






Penafian pihak berkuasa Singapura terhadap kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengenai pertemuannya dengan wakil republik itu atas urusan HSR, mengejutkan pembangkang, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kenyataan rasmi Singapura itu memalukan Kerajaan Malaysia kerana disifatkan sebagai ‘pembohong besar’ dan mereka-reka cerita bagi menyedapkan hati rakyat.

“Jika benar, kami tidak faham maksud sebenar perkara itu dibohongi, sama ada untuk membuktikan kepada rakyat bahawa HSR masih ada dalam jadual pembangunan atau sekadar menunjukkan betapa Kerajaan PH benar-benar membuat kerjanya.

“Mengapa rakyat tidak dimaklumkan mengenai kedudukan sebenar rundingan dengan republik itu? Perlukah mereka dibohongi bagi menutup kelemahan kita?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bidasnya, selepas kerajaan mencipta penipuan paling besar mengenai kedudukan hutang negara, kini kita disuakan pula dengan pelbagai tipu muslihat oleh kerajaan.

“Belum pun tiga bulan memerintah, kerajaan sudah banyak melakukan ‘silap mata’ terhadap dasar dan janji manifestonya untuk PRU ke-14.

“Ini termasuklah ‘u-turn’ terhadap janji untuk menghapuskan Akta MKN dan menutup Biro Tata Negara (BTN) yang selama ini dianggap digunakan oleh Barisan Nasional bagi kepentingan politik.

“Malah, hasrat untuk mengkaji dan menyusun semula BTN dan Akta MKN (NSC Act) mendapat tentangan dalam kalangan Ahli Parlimen PH sendiri, terutama Dap.”

Katanya, keputusan terhadap UEC juga menghampakan ramai walaupun UMNO, dalam kapasitinya membantah sistem ala-Taiwan itu, ingin dipersoalkan kenapa kerajaan mahukan tempoh lima tahun untuk memutuskannya.

“Adakah ia akan dilepaskan kepada kerajaan baru selepas PRU15 sebagai ‘outlet’ kepada PH atau ia sengaja dilengah-lengahkan selepas meningkatnya tekanan agar ia tidak diterima, lantas ‘menyejukkan’ sedikit penyokong UEC?

“Dalam pada menuduh BN ingin menjual negara kepada China, PH pula ingin menyambung semula pujukannya agar China, malahan Jepun, meningkatkan pelaburannya di Malaysia.

“Begitu juga dengan BR1M yang diubah kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). Sambil mendakwa kononnya kewangan negara dalam keadaan tenat sehingga ia terpaksa mengemis bantuan daripada sumbangan rakyat, sebanyak RM1.6 bilion sanggup dikeluarkan menjelang Aidiladha kepada penerima.”

Tegasnya, begitu juga dengan Klinik 1Malaysia yang kini ditutup operasinya sehingga ia dijenamakan semula.

“Ini menjejaskan jutaan rakyat berpendapatan rendah untuk menikmati faedah perubatan murah yang disediakan kerajaan terdahulu.

“Hentikanlah ‘kerajaan berkecamuk’ ini dan tumpukan perhatian kepada usaha menyediakan pakej rangsangan ekonomi serta peningkatan taraf hidup rakyat.

“Usahlah banyak memutar-belit dan mengada-adakan ‘fakta tidak benar’ untuk menutupi kelemahan dan kesalahan. Ini negara kita bersama dan masa depannya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya lagi.


0 comments:

share2