Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 20, 2018

[JERANTUT] ISU TERTUNGGAK PERLU DITANGANI



Isu tertunggak perlu ditangani



Pihak pengurusan Felda dan kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan pelbagai isu tertunggak warga peneroka di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato' Nazri Ngah berkata, beliau percaya Kerajaan Pusat akan terus memberi perhatian khusus kepada peneroka di Pahang berikutan negeri ini banyak tanah rancangan.

Menurutnya, perkara itu bukan lagi membabitkan perbezaan ideologi (politik) antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, tetapi lebih kepada usaha membela nasib peneroka.

"Saya percaya Kerajaan Pusat tidak akan mengabaikan kira-kira 300,000 warga peneroka yang mengusahakan 115 tanah rancangan Felda di negeri ini. Kita harap mereka akan meneruskan pelbagai usaha yang dirancang sebelum ini," katanya.

Beliau yang juga Adun Pulau Tawar berkata, antara perkara yang wajar diteruskan Kerajaan Pusat ialah inisiatif Felda 2.0 dilancarkan bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak pada Februari lalu.

Ujarnya, melalui inisiatif itu, kerajaan dengan kerjasama Felda akan menaiktaraf dan meningkatkan infrastruktur bagi merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan tanah rancangan.

"Kita mahu cipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada peneroka, terutama generasi kedua dan ketiga bagi mengelakkan mereka berhijrah ke bandar besar.

"Inisiatif ini sudah dilaksanakan di Felda Lurah Bilut dan diharapkan ia diteruskan atau diperluaskan ke kawasan lain secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai, beliau berkata, penstrukturan semula sedang dilakukan pihak pengurusan terbabit.

Katanya, kebanyakan projek itu berdepan masalah apabila kontraktor dilantik gagal memenuhi kriteria ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menyukarkan pembiayaan projek yang dilaksanakan.

"Kita ada tiga wilayah Felda di Pahang mewakili Wilayah Kuantan, Wilayah Jengka dan Wilayah Mempaga. Boleh dikatakan semua wilayah ini ada projek PGBF dan ada antaranya sudah siap diduduki peneroka.

"Buat masa ini, masih terdapat 1,184 unit terbengkalai dan 800 projek PGBF disenaraikan sebagai projek 'sakit'... perkara ini sedang dalam pertimbangan pihak pengurusan Felda dan proses lantikan kontraktor baharu akan dibuat apabila keadaan (kewangan) mengizinkan.

"Saya harap pihak pengurusan Felda dapat mempercepatkan lantikan dan mesyuarat Jawatankuasa Ketua Pengarah Felda bagi meluluskan proses mencairkan aset untuk tujuan pembiayaan projek yang sudah dan sedang dirancang oleh Felda," katanya.


0 comments:

share2