Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 13, 2018

DAKWAAN 70 PERATUS HARGA BARANG TURUN... SATU REALITI ATAU FANTASI?






Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris berkata, kenyataan Menteri Kementerian Perdagangan , Saifuddin Nasution, yang mendakwa lebih 70 peratus barangan turun harga selepas sifar GST ternyata bercanggah dengan realiti yang dihadapi pengguna di negara ini malah sehingga kini kementerian berkenaan tidak memaparkan senarai barangan yang dikatakan telah turun harga itu.

Ini memandangkan menurut laporan daripada tinjauan berkenaan harga barang, didapati rata-rata pengguna masih lagi merungut dengan kenaikan harga barangan yang didakwa mereka naik secara mendadak berbanding sebelum PRU ke 14 dulu.

“Kenyataan Saifuddin itu ternyata bercanggah dengan laporan tinjauan yang mendapati, pengguna masih lagi merungut dengan kenaikan harga barangan yang dilihat mendadak. Kajian yang bagaimanakah dilakukan oleh kementerian sehingga ia ternyata bercanggah dengan realiti yang ada sekarang ini.

“Kenyataan Saifuddin tanpa ada fakta yang kukuh untuk menyokong dakwaannya itu bagi saya hanyalah sekadar satu kenyataan untuk mewujudkan persepsi di kalangan rakyat, kononnya harga barang telah turun semenjak GST disifarkan, sedangkan hakikatnya tidak begitu.

“Malah, barangan asas seperti gula hari ini juga baik sepuluh sen, begitu juga dengan harga barangan asas yang lain termasuklah gas memasak.

“Kita mahu tahu, apa penjelasan yang rasional daripada kementerian terhadap isu kenaikan harga barangan ini dan apa jalan penyelesaian yang sedang dilakukan oleh kementerian,” tegasnya ketika dihubungi UMNO-Online di sini hari ini.

Kenaikan harga barangan yang terus berlaku ini juga menurut Najmil membuktikan, KPDNKK gagal menjalankan tugas mereka untuk memantau harga barangan, malah membuat pula kenyataan yang membohongi rakyat serta bercanggah dengan realiti sebenar.

“Kalau dulu, sebelum PRU ke 14 semasa PH masih pembangkang, bolehlah mereka memperdayakan rakyat dengan isu kenaikan harga barang ini untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap BN.

“Tetapi hari ini jelas, apabila mereka menjadi pemerintah, bukan sahaja mereka gagal mengekalkan atau menurunkan harga barangan, tetapi harga barang terus meningkat dengan mendadak.

“Saya yakin, rakyat hari ini dapat melihat dengan jelas kegagalan kerajaan PH untuk menepati segala janji dan manifesto yang mereka lontarkan kepada rakyat sebelum PRU dulu.

“Jelas, belum sampai 100 hari, kerajaan PH mengakui mereka gagal untuk mengotakan segala apa yang mereka janjikan itu. Bagi saya, ini jelas satu penipuan kepada rakyat dalam usaha mereka untuk mendapatkan kuasa,” ujarnya.


0 comments:

share2