Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 4, 2018

HORMATI YANG DI-PERTUAN AGONG UNTUK LANTIK PEGUAM BARU, AMBIL KIRA KEMASLAHATAN ISLAM – PPMM






Kuala Lumpur – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak agar semua pihak perlu menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkenaan pelantikan peguam negara yang baru.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar melihat ruang untuk YDPA membuat keputusannya mengikut ‘at the pleasure of Yang Di Pertuan Agong’ menurut Perkara 145(5) yang mana Peguam Negara memegang jawatan dengan perkenan YDPA dan bukan hanya daripada nasihat Perdana Menteri iaitu suatu ‘perkenan atau pleasure’ tidak boleh dipaksakan kepada Baginda.

“PPMM percaya isu ini tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar dan merendahkan institusi raja berpelembagaan seperti yang telah dianuti oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama demi memastikan institusi ini dihormati oleh rakyat Malaysia seperti termaktub di dalam Perkara Kedua di dalam Rukun Negara – Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada sebuah portal berita yang melaporkan semalam bahawa kerajaan telah mencadangkan beberapa nama di kalangan peguam berpengalaman serta beberapa nama bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk menjadi Peguam Negara serta beberapa laporan yang menyatakan wujud cadangan daripada pihak kerajaan kepada DYMM YDPA berkenaan lantikan Peguam Negara yang baru.

“PPMM berpandangan YDPA semestinya mengambilkira kepentingan dan kemaslahatan Agama Islam di dalam negara ini kerana dengan lantikan Peguam Negara adalah hendaknya individu yang mampu memelihara Islam pada setiap masa dan keadaan.

“Tambahan pula, PPMM juga musykil jika lantikan dibuat di kalangan pihak yang bukan di dalam “ahlinya” maka akan mengundang suatu percanggahan terhadap tujuan utama perlantikan oleh YDPA.

“PPMM juga berpandangan bahawa seorang Peguam Negara menurut Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah adalah juga merupakan seorang Ketua Pendakwaraya bagi sesebuah negara dan semestinya Peguam Negara yang bakal dilantik hendaklah mempunyai pengalaman sebagai Peguam Litigasi Jenayah yang kukuh dan kuat bagi menjaga kepentingan Negara Malaysia.”

Ujarnya, perkara yang sama juga telah ditegaskan oleh Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Gopal Sri Ram.

“PPMM berdiri teguh di belakang YDPA dan Raja Raja Melayu di dalam melaksanakan obligasi berperlembagaan Baginda untuk melantik seorang Peguam Negara yang akan menasihati baginda di dalam pelbagai perkara termasuklah kedudukan Baginda dalam hal ehwal berkaitan dengan Agama Islam, tiada konflik kepentingan dan mempunyai jatidiri yang kukuh disamping ketaatan tidak berbelah bahagi kepada Raja dan Negara,” ujarnya.

Jelasnya, di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan YDPA menaiki takhta dengan bersumpah dengan nama Allah antara lain akan memelihara Islam pada setiap masa.

“Hal ini menjadikan YDPA mempunyai tanggungjawab berperlembagaan (constitutional obligation) untuk memelihara Islam pada setiap masa.

“Oleh itu YDPA hendaklah melantik seorang yang dapat memelihara Islam pada setiap masa. Malah lantikan Peguam Negara oleh YDPA adalah dalam perkenan YDPA (at the pleasure of the YDPA), justeru itu tidak seorangpun boleh memaksa YDPA memberi perkenan sedemikian.”
Tegasnya, kenyataan PPMM tersebut hanya mengulas berkaitan kuasa DYMM YDPA mengikut Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan di dalam memelihara Agama Islam yang meliputi pentadbiran, undang-undang serta institusi Agama Islam di dalam negara ini.

“PPMM tidak berhasrat untuk menafikan kredibiliti, pengetahuan dan kemampuan pihak-pihak seperti yang telah dilaporkan di dalam berita dan juga laman sesawang portal-portal berita semasa.

“Di samping itu adalah penting Perkara 40 (1) dan (1A) dirujuk dan diamati dengan menyeluruh mengenai keperluan YDPA bertindak mengikut nasihat PM melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya di dalam budibicara YDPA.”

Oleh itu, katanya lagi, perkataan “nasihat” bukanlah suatu ketetapan mengikat YDPA kerana ia lebih bersifat panduan dan bukannya “arahan” yang dinilai oleh YDPA mengikut hemat, kebijaksanaan dan hikmah Baginda.


0 comments:

share2