Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 30, 2018

TAPAK RAMSAR TASEK BERA BAKAL DIBANGUNKAN



Tapak Ramsar Tasek Bera bakal dibangunkan



Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sedang menyediakan kajian perancangan, Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pengurusan Pembangunan bagi Pemeliharaan Tapak Ramsar Tasek Bera.

Ia merangkumi kawasan tasik semula jadi dan takungan air tawar terbesar di negara ini dengan keluasan 103,097.90 hektar.

PLANMalaysia Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, Tasik Bera diiktiraf sebagai antara tapak ramsar di negara ini dan tapak yang ke-712 dari 2,231 tapak ramsar di seluruh dunia sehingga Jun 2016.

Kawasan Ramsar Tasek Bera yang dihuni komuniti Orang Asli suku Semelai ini dipilih sebagai Pusat Pemuliharaan Tanah Lembap Negara (tasik air tawar semula jadi) di samping menggalakkan
pembangunan eko pelancongan yang lestari.

Melalui kajian itu, 40 cadangan projek dan program pembangunan dikemukakan termasuk 24 projek mengikut zon pembangunan dan 16 projek, program merentasi zon pembangunan

Kawasan itu terbahagi kepada dua zon iaitu Kawasan Ramsar yang dikendalikan Unit Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera (UPTRTB) dan Zon Penampan di bawah Majlis Daerah Bera.

Berdasarkan keseluruhan kawasan yang tertakluk dalam kajian ini, 52,954 hektar dikhususkan sebagai zon pengekalan meliputi kawasan Tapak Ramsar Tasek Bera, Hutan Simpan kekal Chini dan Hutan Simpan Chini Tambahan.

Kawasan itu dikenal pasti sebagai kawasan hutan utama yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti, kawasan central forest spine yang perlu dipelihara daripada sebarang pembangunan.

Bagi zon pemuliharaan melibatkan kawasan seluas 46,062.98 hektar membabitkan kawasan ladang dan penempatan Felda, Ladang FGV Plantation dan tanah persendirian yang merupakan kawasan pertanian kelapa sawit dan getah yang perlu kepada amalan pertanian mampan.

Manakala bagi zon pembangunan terkawal melibatkan kawasan berkeluasan 3,967.20 hektar di Pos Iskandar, resort dan sebahagian cadangan Bandar 34.

Ia menjadi kawasan tumpuan pembangunan aktiviti perkhidmatan penduduk dan pelancongan yang perlu kepada kawalan pembangunan fizikal bagi mengurang impak ke atas Tasek Bera.

Selain itu, 112.91 hektar dikhaskan sebagai Koridor Riparian di Sungai Tembangau, Sungai Serting dan Sungai Bera.

Tiga sungai itu menjadi nadi kepada sumber air di Tasek Bera, justeru pembangunan di kawasan tersebut tidak akan menjejaskan biodiversiti di tasik itu secara tidak langsung.

Justeru, orang ramai dialu-alukan memberikan pandangan, ulasan dan bantahan sekiranya ada untuk dipertimbangkan bagi memantapkan RKK ini dalam tempoh publisiti bermula 21 Mei 2018 hingga 20 Jun 2018.

Draf RKK boleh disemak di Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Pahang, Majlis Daerah Bera dan Wisma Sri Pahang.

Manakala majlis perasmiannya akan diadakan hari ini di Dewan Cemerlang Majlis daerah Bera yang dijangka dirasmikan Adun Kemayan, Dato' Mohd Fadil Osman.


0 comments:

share2