Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 25, 2018

[PEKAN] REMAJA ORANG ASLI KONGSI PENGALAMAN KALI PERTAMA PUASA



Remaja Orang Asli kongsi pengalaman kali pertama puasa



Pengalaman kali pertama melalui bulan Ramadan memberikan pelbagai rasa kepada remaja Orang Asli yang baru belajar berpuasa.

Walaupun lapar dan dahaga pada hari pertama puasa namun sebagai memenuhi tuntutan agama mereka tetap kuatkan semangat.

Bagi remaja Orang Asli, Nor Asmira Rosni, 21, ketika tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, Pekan empat tahun lalu dia pernah berpuasa beberapa hari mengikut rakan beragama Islam.

Menurutnya, pengalaman kali pertama menjalani ibadah berpuasa selepas memeluk Islam pada Februari lalu dilalui dengan baik walaupun memenatkan terutama beberapa jam sebelum waktu berbuka.

“Selepas seminggu berpuasa keadaan menjadi semakin selesa apabila mampu melakukan apa juga aktiviti di kelas selain keluar membeli juadah berbuka puasa di bandar.

“Saya bersyukur impian menjadi muslimah yang dapat melakukan semua suruhan Islam hampir menjadi kenyataan walaupun pengetahuan agama masih lagi cetek dan memerlukan bimbingan,” katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Arong Paloh Hinai, Pekan.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia tidak sabar untuk menjalani ibadah puasa bersama keluarga yang terlebih dahulu memeluk Islam.

Dia antara 67 pelajar Orang Asli yang belajar dengan Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) di Indera Mahkota yang mendapat tajaan Yayasan Pahang (YP).

Nor Asmira berkata, waktu berbuka adalah waktu yang paling dinantikan apabila dapat menikmati pelbagai jenis kuih dan hidangan nasi dengan lauk istimewa yang disediakan pihak pengurusan Petama.

“Saya cukup gembira kerana berpeluang belajar agama dan membaca al-Quran dengan lebih mendalam sepanjang Ramadan,” katanya.

Bagi Sharul Ramli, 19, yang berasal dari Kampung Orang Asli Api Larat, Pekan berkata, pengalaman kali pertama berpuasa begitu mencabar hingga memaksa dia banyak berehat terutama pada hari pertama Ramadan.

Katanya, walaupun bersahur namun rasa lapar dan dahaga tetap ada terutama pada hari pertama dan kedua puasa, kini semuanya dapat diatasi dengan sokongan dan nasihat rakan dan guru.

“Setiap hari saya berdoa supaya ibadah puasa yang kali pertama dilakukan ini berjaya selama sebulan dan lebih manis dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang terlebih dahulu memeluk Islam.

“Saya yakin dengan keimanan sahaja dapat menjadi pendorong kuat kepada melakukan semua tuntutan agama seperti solat, berpuasa dan membaca al-Quran,” katanya bercita-cita menjadi pendakwah di penempatan Orang Asli.

Sementara itu Penolong Pengurus Petama, Razi Ahmad berkata, walaupun kali pertama menjalani ibadah puasa namun pelajar terbabit tetap bersemangat dan tabah menghadapi dugaan.


0 comments:

share2