Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 21, 2018

JAIP PANTAU LOKASI PANAS KAKI PONTENG PUASA



Jaip pantau lokasi panas kaki ponteng puasa



Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memantau lokasi panas yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa di negeri ini.

Pengarahnya, Dato' Mohamad Noor Abdul Rani berkata, pemantauan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jaip.

Menurutnya, kaki ponteng puasa menjadikan lokasi seperti ladang kelapa sawit, kawasan perindustrian dan premis menjual makanan tersorok sebagai tempat mereka makan dan minum.

"Sejak 1 Ramadan lalu, kita menerima dua aduan membabitkan ponteng puasa.Bagaimanapun , selepas diperiksa tiada bukti kukuh untuk kita buka kes,"katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Noor berkata, kedua-dua aduan itu adalah di Kuantan iaitu di Teluk Cempedak dan Batu 5.

Katanya, di Kuantan, lokasi panas yang sering menjadi tumpuan kaki ponteng puasa adalah di Gebeng.

"Kita tugaskan lima hingga tujuh anggota penguatkuasa menjalankan pemantauan di lokasi terbabit,"katanya.

Beliau berkata, operasi Ramadan Jaip dibahagikan kepada dua iaitu operasi berjadual yang dijalankan di seluruh negeri, manakala operasi berdasarkan aduan orang ramai, biasanya melibatkan kes ponteng puasa.

"Setakat ini, kita melakukan operasi seperti biasa dengan menggantung kain rentang sebagai peringatan kepada orang ramai,"katanya.

Katanya, kain rentang itu dipasang di lokasi tumpuan ramai sebagai langkah mencegah jenayah syariah ketika Ramadan.

Di bawah Seksyen 22 iaitu Tidak Menghormati Ramadan seperti orang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap secara terbuka atau di tempat awam boleh disabitkan denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


0 comments:

share2