Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 21, 2018

PEMUDA UMNO INDERA MAHKOTA KONSISTEN BERSAMA PARTI



Muhammad Faiz



Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota akan terus konsisten berkhidmat kepada parti walaupun suasana ketika ini amat berbeza sama sekali.

Ketua Pemudanya, Muhammad Faiz Hashim berkata, Parlimen Indera Mahkota mengalami kekalahan untuk tiga penggal pada kali ini dan lebih mengejutkan apabila Kerajaan BN juga tewas.

“Bagaimanapun, semua saf kepimpinan Umno perlu muhasabah diri dan kami amat yakin hanya dengan semangat ikhlas berjuang, berbakti dan berkhidmat akan membuka kembali mata rakyat kelak.

“Dalam masa sama, saya ucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (Harapan) kerana berjaya memenangi PRU14 kali ini yang ternyata mencatat sejarah buat negara,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, di sebalik kejayaan yang diraih pasti rakyat akan menilai sejauh mana prestasi serta perjalanan kerajaan yang baru dipilih itu.

“Dalam tempoh lima tahun macam-macam boleh berlaku. Rakyat akan menilai sejauh mana Harapan menunaikan janji manifesto mereka.

“Yang lebih penting, rakyat akan menilai bagaimana Harapan akan menjaga kepentingan Islam dan Bahasa Melayu sebagai agama serta bahasa rasmi negara sepertimana termaktub dalam perlembagaan Perkara 152 dan Perkara 153,” katanya.

Katanya lagi, rakyat juga akan menilai sejauh mana kuatnya gabungan parti dalam Harapan yang ternyata mempunyai agenda masing-masing.

“Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota akan teruskan khidmat seperti biasa dan khidmat yang diberikan bukan hanya menanti saat menjelang pilihan raya semata-mata,” katanya.


0 comments:

share2